Isu peruntukan: Terserah MB tafsir titah Tuanku

- Advertisement -

BERIKUTAN titah tersebut saya turut dihujani dengan pertanyaan adakah ADUN pembangkang akan turut mendapat peruntukan yang sama sebagaimana ADUN dari pihak kerajaan.

Terlebih dahulu saya paparkan sedutan dari teks ucapan Titah Diraja sempena Sidang DUN Pahang ke-15 Penggal ke-2 oleh DYMM Pemangku Raja Pahang pada 8 Mei 2023 (Isnin) iaitu:

“Yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.”

“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka juga.”

Telah berlaku perbahasan dan beberapa Ahli Yang Berhormat pembangkang menyentuh isu ini termasuk YB DS Tuan Ibrahim Tuan Man selaku ADUN Cheka dan saya sendiri serta beberapa ADUN yang lain. Isu ini menjadi isu yang agak panas dan telah berlaku sedikit kekecohan pada hari kedua Sidang DUN Pahang.

Bagi pihak kami, ini adalah sebahagian dari isi perbahasan kami selain dari titah ucapan yang lain, kerana sidang DUN ini adalah sidang untuk membahaskan Titah Ucapan Diraja. 

Namun pada hari terakhir sewaktu penggulungan oleh YAB Menteri Besar Pahang, beliau telah menjelaskan berkaitan dengan isu tersebut antaranya secara ringkas bahawa:

1. Tiada mana-mana kerajaan yang akan berikan peruntukan yang sama dengan pembangkang.

2. Melalui Kerajaan Negeri telah menyampaikan sumbangan ke kawasan-kawasan seluruh Negeri Pahang termasuk di dalam DUN Pembangkang seperti bantuan persekolahan dan lain-lain.

3. Beliau juga membangkitkan bantuan kepada rakyat sempena Ramadhan sebanyak RM5,000 yang diberikan melalui semua ADUN pembangkang pada bulan Ramadhan baru ini.

Ini adalah antara hujah beliau yang menggambarkan bahawa kerajaan tidak akan memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.

Apa yang kami faham dari titah ucapan tersebut ialah peruntukan tetap yang telah diberikan kepada ADUN kerajaan turut diberikan kepada ADUN pembangkang.

Tafsiran kami dan tafsiran DS Menteri Besar Pahang tidak sama, maka terpulangkan kepada DS Menteri Besar untuk menafsirkan titah ucapan tersebut mengikut apa yang beliau fahami.

Bagi kami sama ada ada ataupun tiada, kami tetap akan menaburkan khidmat bakti kami dengan sebaik mungkin meskipun dalam apa jua keadaan. Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan Insya-Allah kami akan bekerja lebih kuat, membina kekuatan, menyusun strategi, merempuh segala halangan sehingga kami menang untuk membentuk kerajaan baru Negeri Pahang PRU16 akan datang, Insya-Allah.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -