Kes kalimah Allah: KDN terlalu sambil lewa

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan sebenar di sebalik langkah menarik diri daripada rayuan dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill, seorang wanita Kristian dari Sarawak yang menggunakan kalimah Allah atas tujuan agamanya.

- Advertisement -

Rayuan tersebut sepatutnya dilaksanakan selepas keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 yang membenarkan Jill Ireland menggunakan kalimah Allah, ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ oleh golongan bukan Islam dalam agama mereka.

DUPP berpandangan keputusan KDN menarik balik rayuan dalam kes tersebut menggambarkan sikap sambil lewa dan tidak benar-benar meneliti justifikasi penghujahan kes tersebut dengan mendalam.

Tambahan lagi, KDN tidak mengambil berat pendirian Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang menjelaskan bahawa lafaz Allah SWT adalah khusus kepada umat Islam sahaja.

Lafaz tersebut serta perkataan ‘Kaabah’, ‘Solat’ serta ‘Baitullah’ seharusnya dilindungi melalui undang-undang daripada sebarang bentuk dan potensi disalahgunakan.

Ironinya, Kerajaan yang menguar-uarkan slogan madani tidak langsung serius melihat perkara ini.

Justeru DUPP menegaskan supaya pihak KDN mengambil langkah berani dan konsisten iaitu meneruskan rayuan kes Jill Ireland ini.

Tidak seharusnya kes sebegini dipandang enteng oleh kerajaan memandangkan implikasi kepada masa depan agama itu sendiri.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -