‘Kahwin paksa’ PH-BN makin nampak keretakan

- Advertisement -

RAMAI para penganalisa dan pemerhati politik yang terkedu kerana tidak menjangkakan yang PERIKATAN NASIONAL khasnya PAS dan BERSATU dapat memperolehi pencapaian yang luar biasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 November tahun lalu.

Kemenangan 74 kerusi dengan menguasai majoriti kerusi-kerusi Melayu dengan lebih 56 peratus sokongan undi Melayu itu telah mengurangkan secara drastik sokongan khasnya kalangan pengundi Melayu terhadap Umno, PKR dan PAN.

Yang lebih mengkagumkan adalah apabila PN juga berjaya membolot sokongan undi anak-anak muda khasnya ‘pengundi 18’ dan ‘first time voters‘ atau pengundi yang baru didaftarkan sebagai layak mengundi oleh kerana kaedah pendaftaran otomatik yang baru diperkenalkan.

Ketika itulah istilah ‘Green Wave’ atau ‘Gelombang Hijau’ diperkenalkan yang memberi maksud kebangkitan kesedaran politik di kalangan umat Melayu yang jarang-jarang berlaku secara blok.

Seorang wartawan ketika itu bertanya pandangan saya, mengapa PN menjadi pilihan khasnya anak-anak muda ini.

Saya beritahu mudah sahaja, dalam tempoh berkempen sama ada kita sedari ataupun tidak PH dan BN ketika itu menyerang hebat antara satu sama lain. 

Di mana-mana sahaja kempen PH sama ada dalam ceramah umum atau media sosial, naratif yang dibawa adalah bahawa BN dan Umno ini adalah parti perompak dan penyamun. Mengundi mereka bermakna memberi kuasa kepada kaki-kaki rasuah. Lagu ‘Hoi hoi ya hoi’ lirik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berkumandang di mana-mana sahaja pentas PH seakan lagu rasmi, diguna untuk memperlekeh dan menghodohkan wajah pimpinan Umno dan BN.

Di sebelah pihak lain pula Umno dan BN sakan menyerang PH khasnya DAP. DAP dilabel anti Melayu, anti Islam dan pro Komunis yang perlu ditolak. Mengundi PH bermakna memberi nyawa pada DAP untuk membawa agenda rasisnya. Itulah yang diulang-ulang para penceramah dan pimpinan Umno dalam kempen mereka.

Pengundi-pengundi muda ini dikira pengundi yang segar, bersih dan baru melangkah ke dunia membuat pilihan. Mereka walaupun muda tetapi mindanya terbuka dan nalurinya dahagakan kebenaran.

Apabila mereka diasak saban hari dengan propaganda BN dan PH yang serang menyerang antara satu sama lain ini mereka terkalih pada PN.

Jika BN itu korap dan tidak bermoral, mereka wajib ditolak, demikian juga jika PH itu rasis dan anti Melayu mereka juga wajib ditolak. Lalu tinggallah PN yang dilihat tenang dan stabil, lain sama-sekali berbanding BN dan PH. 

Justeru terdorong hati mereka untuk berkata yang benar, dan yang benar pada pandangan mereka adalah wajar menyokong PN kerana PN-lah yang dilihat mampu membawa suara dan pandangan mereka berbanding BN dan PH.

Itulah yang telah berlaku dan selebihnya menjadi sejarah.

Sejurus PRU ke-15, lebih malang, rakyat termasuklah anak-anak muda ini melihat perkahwinan politik paksa yang tidak boleh terbayang dalam benak kepala mereka sebelum ini berlaku depan mata.

BN dan PH yang serang-menyerang semasa tempoh kempen lalu tiba-tiba bersanding, berpeluk dan bermesra sesama sendiri, bantu-membantu untuk tidur sebantal membentuk Kerajaan Campuran yang sama. (Istilah kahwin paksa ini mula digunakan mantan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri menggambarkan hubungan PH-BN).

Inilah malapetaka politik. Mungkin pimpinan PH dan BN terdesak, mereka mahu memastikan yang PN tidak membentuk Kerajaan Campuran untuk memerintah, lantas atas kepentingan bersama mereka sanggup menjilat ludah kembali dan bersekongkol walau hakikatnya PH dan BN ini bagaikan minyak dan air yang hampir mustahil boleh bersatu.

Kerana itu hari ini kita lihat Kerajaan Campuran Perdana Menteri ke-10 ini gagal membentuk kestabilan dalam negara dan meyakinkan rakyat. Malah mereka sesama sendiri mula berbalah lantaran perbezaan yang terlalu besar antara mereka. 

Nama Kerajaan Campuran tetapi masing-masing curiga-mencurigai sesama sendiri.

Isu pengampunan terhadap hukuman penjara yang sedang dijalani mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umpamanya sudah cukup menunjukkan betapa mereka sangat berbeza. 

Beberapa kumpulan dalam Umno mendesak agar kerajaan ini menuntut pengampunan buat Najib, manakala komponen PH khasnya DAP dan PAN termasuklah pimpinan PKR tidak selesa.

Seorang pemimpin kanan PAN yang asalnya mengeluarkan kenyataan mewakili partinya menentang permohonan pengampunan ini telah dipaksa memohon maaf pada Umno. Timbalan Presiden PAN terpaksa seakan ‘melutut’ pada Umno kerana ianya tidak disenangi ahli-ahli Umno.

DAP juga tidak selesa. Bagi mereka imej perompak dan perasuah pada Umno itu boleh menghakis sokongan rakyat khasnya para pengundi Cina terhadap mereka. Pimpinan mereka secara terbuka menyerang usaha pengampunan ini.

Kini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-15 bagi 6 buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pun kita lihat perbalahan besar dalam isu pembahagian kerusi sedang berlaku sesama mereka.

Di Selangor contohnya Umno konon-konon bercita-cita mahu bertanding lebih 10 kerusi DUN, jauh bawah angka Umno sebelum bekerjasama dengan PH. Tetapi Pengerusi DAP Selangor menolak mentah-mentah hasrat Umno itu. Kata beliau semua parti bertanding di kerusi yang mereka menang iaitu PKR   21, DAP 16, PAN 8 dan Umno 5. Baki 6 kerusi milik BERSATU dan PAS menurut beliau akan dibahagi-bahagi dan ianya bukan hak mutlak Umno untuk bertanding.

Kasar bunyi kenyataan pemimpin tertinggi DAP Selangor ini, kasar untuk memberi amaran dan peringatan pada Umno bahawa mereka adalah komponen terkecil dalam gabungan PH-BN di Selangor.

Demikianlah layanan yang diterima Umno, yang anehnya sedikit pun tidak menggusarkan Presidennya, yang selesa dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri walaupun berhadapan dengan 47 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

PH dan BN dijangka terus bergasak sesama sendiri dalam isu pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 6 negeri ini. Hari ini pun sudah dengar kegelisahan dan ketidakpuasan hati berbunyi dari kem DAP, PKR dan Umno sendiri.

Sementara itu PN pula lancar menyusun strategi bagi menghadapi PRN di enam buah negeri ini dengan lebih tersusun, lebih baik dari pengalaman yang ditimba  pada PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini.

Kerana itulah adalah dijangkakan kesepaduan jentera PERIKATAN NASIONAL, kesungguhan para pemimpinnya berjuang membela dan mempertahankan nasib rakyat di waktu Kerajaan Campuran berbalah sesama sendiri semata-mata kerana kuasa dan kedudukan akan memberi kelebihan pada PN, dan sekali lagi PN akan menjadi pilihan yang lebih meyakinkan buat rakyat khasnya di kalangan anak-anak muda.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -