Selangor untuk anak Selangor

- Advertisement -

MENTERI Besar Kedah Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi ‘selebriti’ pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Selangor Ahad 7 Mei lalu di perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Selangor di seksyen 13, Shah Alam.

Ribuan rakyat berpusu-pusu mahu mendengar ucapannya dan seterusnya hampir sejam berebut untuk bergambar dengan beliau. Beliau dengan ‘sporting‘ dan bersahaja meraikan permintaan mereka.

Ternyata anak-anak muda dan rakyat kebanyakan begitu senang dan selesa dengan gaya serta kepimpinan Sanusi, mereka merasakan Sanusi seolah membawa dan mewakili suara serta isi hati mereka. Demikianlah kelebihan tokoh PAS dari Sik, Kedah ini.

Di Shah Alam, beliau menyentuh berkenaan pentingnya Selangor dipimpin oleh anak Negeri Selangor. Sama ada disedari ataupun tidak, Kerajaan Negeri Selangor hari ini dipimpinan oleh barisan kepimpinan yang kebanyakannya bukan anak jati Selangor.

Menteri Besar lahir luar Selangor dan demikian juga sebahagian besar ahli-ahli Exconya. 3 ahli Exco DAP contohnya, ketiga-tiga bukan anak kelahiran Selangor. 2 Exco PAN juga bukan anak Selangor.

Mengapa penting pimpinan kerajaan perlu anak tempatan, menurut Sanusi kerana mereka nanti memiliki citra Selangor. Dalam erti kata lain kehidupan, imej dan keperibadian mereka terbentuk di Selangor lantas mereka tahu naluri dan cita rasa anak Selangor.

Bagi sesetengah orang, mungkin isu ini tidak penting asalkan seseorang itu boleh berkhidmat dengan baik. Masalahnya tidak adakah anak Selangor yang boleh berkhidmat dengan baik di negerinya sendiri?

Selangor pernah melahirkan anak-anak Selangor yang hebat sebagai Menteri Besarnya antaranya Raja Tun Uda Raja Mohamad, Tan Sri Abd Jamil Rais, Dato Abu Bakar Baginda, Dato Harun Idris, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tetapi kini bukan hanya Menteri Besar malah sebahagian besar Exco bukan lagi anak Selangor.

Ada yang lahir di Perlis, di Kedah, di Johor, di Perak tetapi hari ini diangkat sebagai Menteri Besar dan ahli Exco untuk memimpin anak-anak Selangor.

Tiba masanya menurut Sanusi, anak-anak Selangor diberi peluang untuk berkhidmat kepada tanah kelahirannya sendiri. Ramai yang hadir pada malam itu setuju dan pasti ramai para pengundi di Selangor juga demikian.

Sanusi mengisytiharkan kiranya PERIKATAN NASIONAL menang dalam PRN Selangor tidak lama lagi, PN akan pastikan Menteri Besar dan sebahagian besar Exco akan diangkat di kalangan anak-anak Selangor.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
PAS Negeri Selangor  – HARAKAHDAILY 9/5/2023

Sumber: https://fb.watch/kpA9j0T0Gp/?mibextid=Nif5oz 

- Advertisement -
- Advertisement -