HONG KONG: Kerajaan China bertindakbalas mengusir seorang diplomat Kanada di Shanghai, sehari selepas Kanada mengumumkan ia akan memecat seorang diplomat China atas dakwaan beliau terlibat dalam usaha menakut-nakutkan seorang anggota parlimen Kanada.
Dalam satu kenyataan pada hari ini Selasa (9 Mei), Kementerian Luar China berkata ia mengutuk sekeras-kerasnya perancangan pengusiran diplomatnya yang berpangkalan di Toronto, Zhao Wei, lapor CNN.
“Sebagai ‘tindak balas timbal balik’ terhadap Ottawa, Beijing akan mengisytiharkan Jennifer Lynn Lalonde, seorang konsul Konsulat Jeneral Kanada di Shanghai, sebagai ‘persona non grata’ dan telah diminta meninggalkan China sebelum tarikh 13 Mei ini.
Pada Isnin (8 Mei), Kanada mengumumkan akan mengusir Zhao, susulan kenyataan Menteri Luar Negeri Kanada, Melanie Joly bahawa Ottawa tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal Kanada. – HARAKAHDAILY 9/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!