PSR: Rakyat akan hantar signal penolakan kepada PMX

- Advertisement -

KELULUSAN diberikan kepada projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) oleh pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) langsung tidak mengejutkan, malah sudah dijangka. Ia satu lagi pembuktian betapa pemerintahan PMX hanya memenuhi kepentingan kelompok, selain penuh dengan muslihat, pembohongan dan retorik.

Projek yang kemudian cuba dihilangkan wacana kerosakan oleh akibat tambakan dengan menjenamakannya kepada Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) itu, masih teguh dibantah rakyat. Kerana sehingga hari ini tiada satu pun penjelasan dasar bahawa projek mega pembinaan tiga pulau buatan bernilai puluhan bilion ringgit itu akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Jelas ketara, sepertimana banyak disebut orang, ia adalah ‘Singapura Kedua’ yang dibina sebagai memenuhi agenda geopolitik DAP selaku kerajaan pemerintah Pulau Pinang. Pembangunan super mewah itu nanti tidak akan menjadi tempat kediaman rakyat jati pulau ini, sebaliknya mereka akan terusir secara tidak langsung dan digantikan oleh golongan kaya-raya sahaja.

Malangnya, ketidakseimbangan sosial serta pembentukan masa depan seperti itu yang turut mengorbankan alam sekitar, kehidupan rakyat pelbagai kaum terutama nelayan dan kegiatan perikanan serta banyak lagi, boleh diizinkan pentadbiran PMX. Sudah tentu dari sudut politik, ianya kerana memenuhi tuntutan dan sebagai imbalan balasan kepada satu pihak.

Dalam konteks ini, pemaju dan politik kepartianlah yang mengaut keuntungan tertentu, sedangkan rakyat dalam keadaan terumbang-ambing pula bagaikan dihambat buang dari pertuduhan mereka. Ini bukan lagi madani yang menjadi slogan dilaung-laungkan Kerajaan PMX, tetapi adalah kekejaman penindasan serta kezaliman ke atas rakyat kebanyakan.

Bahkan kelulusan ini mengesahkan lagi bahawa PMX Anwar adalah seorang yang tidak pernah konsisten dengan kata-katanya di mana pernah menyatakan bantahan terhadap projek ini dahulu. Kini dilihat tunduk dan mencari-cari alasan untuk projek berkepentingan politik DAP ini dapat diteruskan walaupun mendapat bantahan banyak pihak.

PAS Negeri Pulau Pinang mengajak seluruh rakyat yang sedar dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta mana-mana pihak untuk bersatu meneruskan penolakan terhadap projek ini. Kita bukan anti pembangunan, tetapi biarlah sesuatu itu dibina bagi kepentingan semua dengan mengambil kira setiap aspek yang mesti dipertahankan, bukan dipupuskan.

PSR ataupun PSI hakikatnya telah jauh tersasar dari tujuan asal rancangan mengatasi masalah aliran trafik yang sesak dan sendat dalam pulau ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya memberi tumpuan semula kepada isu ini yang telahpun dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan bukannya mencari keuntungan parti menerusi PSR.

“Malaysia Sejahtera”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 30/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -