Jualan mangga Harumanis Perlis bermula

- Advertisement -

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat melancarkan Festival Mangga Harumanis Perlis yang diadakan di pekarangan Dewan 2020 di sini, hari ini.

- Advertisement -

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman dan timbalannya, Bazilah Jalil.

Program tersebut dianjurkan sempena dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis yang dihadiri ribuan rakyat negeri ini.

Festival Mangga Harumanis Perlis merupakan acara tahunan yang diadakan di bawah anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis.

Dengan keistimewaan dan kualiti yang tersendiri, mangga Harumanis Perlis berjaya mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan pasaran luar.

Pada kemuncak majlis tersebut, Tuanku Pemangku Raja Perlis berkenan meletakkan ‘puzzle’ sebagai Simbolik Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2023 dan juga Melancarkan Produk Inovasi Berasaskan Mangga Harumanis.

Majlis pelancaran itu juga menandakan bermulanya jualan buah mangga Harumanis Perlis di negeri ini sehingga Jun 2023.

Mangga harumanis bukan saja untuk dimakan bahkan diproses menjadi Jus Harumanis Al-Kamsah dari syarikat Athanliz Innovation Sdn.Bhd dan juga sebagai produk makanan dan minuman dengan jenama Mafera serta produk kosmetik berjenama Lindifera. – HARAKAHDAILY 29/4/2023

- Advertisement -