PH dan BN: Perkahwinan menuju perceraian

- Advertisement -

DARI awal ‘perkahwinan’ hingga sekarang, perseteruan DAP-Umno ditonjolkan tanpa berselindung. 

Bayangan dan amaran yang diberikan oleh PERIKATAN NASIONAL dahulu kini menjadi realiti. Kerjasama PH-BN sememangnya tidak lebih dari sekadar kerjasama paksa untuk kuasa Anwar dan Zahid. 

Seperti yang disangka, Umno di bawah Dato’ Seri Zahid Hamidi hanya menjadi beban yang perlu disucikan. DAP sebagai ‘abang besar’ dalam kerajaan madani pula pastinya tidak akan berdiam diri.

Seorang demi seorang pemimpin DAP mula mempersoalkan peranan Umno dalam Kerajaan PH-BN. Sebagai tindak balas, pemimpin atasan Umno juga mula menyerang pemimpin PH secara terbuka.

Isu pengampunan Dato’ Sri Najib Razak, pembahagian kerusi untuk PRN dan kes mahkamah Dato’ Seri Zahid Hamidi hanya menjadi minyak dalam api yang sedia marak.

Jika Umno-DAP bukan dalam kerajaan, rakyat mungkin tidak peduli. Namun sebagai parti komponen dalam kerajaan madani, pertembungan ini secara tidak langsung telah merugikan rakyat.

Masa dan tenaga yang sewajarnya dilaburkan untuk membina negara dan menjaga kebajikan rakyat telah dibazirkan untuk urusan ‘rumah tangga’ mereka. 

Setelah 4 bulan memerintah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi berjaya kekal sebagai Presiden Umno, DAP berjaya mendominasi kerajaan, pengikut mereka juga telah diangkat di GLC-GLC namun apa rakyat dapat? 

Rakyat perlu bersuara, rakyat perlu bangkit jika kita tidak ingin menjadi seperti kata pepatah, ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’. Mereka akan buat apa sahaja untuk kekal berkuasa dan kita perlu buat apa sahaja untuk menjaga negara daripada pemimpin yang zalim.

Sekian. 

USTAZ MAHFUZ ROSLAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS
Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 27/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -