Ketakutan PMX dan falasi Anwar

- Advertisement -

HARI ini Sinar Harian melaporkan, YAB Perdana Menteri berkata, ‘kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan’. Jika benar apa yang dilaporkan, maka ini adalah falasi terbesar kita dapat lihat dalam negara kita.

Kami berpendapat, oleh kerana terlalu amat takut kehilangan kuasa khususnya jawatan Perdana Menteri, Perdana Menteri ke-10 (PMX) secara terburu-buru telah mencipta satu falasi yang hakikatnya akan memamah naratif politik beliau pada hari ini.

Kami bersimpati dengan PMX atas kenaifan beliau untuk memahami denyut nadi serta keresahan sebenar rakyat Malaysia.

Apa yang menjadi keresahan buat orang awam, sebahagian besar NGO-NGO Melayu Islam, pemimpin-pemimpin politik serta rakyat di luar sana adalah isu pentadbiran PMX yang tidak cekap, strategi ekonomi yang lesu, janji reformasi yang dibakulsampahkan, intimidasi politik yang dikenakan kepada aktivis media sosial, layanan istimewa PMX kepada Presiden Umno yang berhadapan dengan 47 dakwaan di mahkamah serta pelbagai isu lain yang memberi kesan kepada kepentingan awam.

Kami secara jujur terlalu amat kecewa dengan prestasi pentadbiran PMX yang morat marit serta tiada hala tuju yang jelas. Kami menasihatkan PMX agar cukup-cukuplah menggunakan kuasa yang ada bagi membalas dendam, menekan pihak pembangkang melalui bayangan tuduhan yang tidak berasas, menekan pihak yang mengkritik kerajaan pada hari ini serta berkempen menggunakan falasi yang tidak cerdik seperti hari ini.

Bagaimana rakyat boleh meyakini seorang Perdana Menteri mahu melawan rasuah sekiranya dia sendiri melantik timbalannya dalam kalangan mereka yang mempunyai 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah?

Kami sarankan PMX agar bertaubat dan muhasabah diri di bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan ini. PMX harus fokus bekerja untuk rakyat, laksanakan segala janji-janji yang diungkapkan dalam siri ceramah politik selama ini dan bantu rakyat hadapi tekanan kos sara hidup yang sangat menghimpit kehidupan mereka.

Kalau bukan kerajaan yang ambil tanggungjawab, rakyat nak harapkan siapa lagi? Sekian.

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
11 April 2023 – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -