Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 P.036 K.Terengganu (3)

- Advertisement -

YB DR Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Abdul Hadi tenang menjawab soalan peguam, paling sekejap ditanya.

Perbicaraan Petisyen P.036 Parlimen Kuala Terengganu Selasa 11 April 2023.

PP: Peguam Pempetisyen.
PR: Peguam Responden.
1244: Saksi masuk mengangkat sumpah untuk memberi keterangan.

PP mula menyoal dengan meminta saksi menyatakan bilakah sepina diterima saksi, iaitu Khamis minggu lepas dan pengetahuan beliau berkenaan petisyen yang sedang berjalan. Saksi menjawab beliau menerimanya melalui aplikasi ‘WhatsApp’. Dokumen mahkamah dirujuk untuk soalan seterusnya. Saksi mengaku hadir di Dewan Kondo Rakyat, Kuala Ibai sewaktu program agihan i-Belia berlaku.

Perasmi yang hadir ialah saksi sendiri sebagai ADUN Batu Burok dan beliau tidak pasti jumlah penerima. Facebook saksi dirujuk dan ditanda sebagai bahan mahkamah setelah saksi mengesahkan yang Facebook itu kepunyaan beliau. Antara inti pati ucapan saksi ialah berkenaan bantuan itu adalah keputusan oleh Kerajaan Terengganu dalam Bajet 2022.

Saksi ditanya berkenaan tarikh berkempen dengan tarikh pembahagian i-Belia itu iaitu 16 November. Saksi ditanya kenapa diagihkan pada masa kempen, saksi menjawab tarikh itu masih dalam edah yang ditetapkan selepas kelulusan Bajet 2020.

Saksi turut ditanya kenapa isteri beliau turut hadir. Saksi menerangkan dalam pengetahuan beliau, tiada peraturan yang melarangnya dan beliau juga pernah sebelum itu membawa isteri beliau ke majlis-majlis rasmi. Saksi juga adalah Timbalan kepada Exco Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar. 

Saksi dilihat di dalam satu gambar, menyerahkan satu sampul duit kepada seorang penerima, beliau berkapasiti sebagai ADUN. Sampul yang ditunjukkan itu disahkan oleh saksi sebagai kelihatan sama dengan sampul yang beliau serahkan dahulu.

Saksi menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Kuala Terengganu dengan memberikan kempen-kempen bagi menerangkan isu-isu, dasar-dasar dan tawaran-tawaran PAS kepada rakyat. Saksi mengaku yang beliau menjalankan kerja-kerja PRU tetapi dalam masa yang sama, saksi tahu akan batas dan sekatan yang perlu dalam masa berkempen. Saksi berkata beliau membantu responden dengan berkempen melalui ceramah dan penulisan secara umum, tetapi tidak berjumpa secara khusus dengan pengundi.

Persepsi penerima dana pada pandangan saksi dilihat gembira, berpuas hati dengan kejayaan Kerajaan Negeri menunaikan janji. Saksi tidak bersetuju dengan PP yang mana PP mengatakan agihan itu akan mendorong penerima untuk mengundi responden. Saksi mengatakan penerima adalah dari kalangan orang yang bijaksana dan tidak mudah terpengaruh dengan apa-apa dan agihan ini adalah dasar yang telah ditetapkan sebelum ini.

Saksi berkata lagi, Kerajaan Negeri tidak terikat dengan masa untuk melakukan agihan itu dan ia masih dalam edah, setelah ditanya PP berkenaan kenapa agihan dilaksanakan dalam masa berkempen. Saksi dilepaskan setelah PP tiada lagi soalan tambahan dan PR juga tidak membuat soalan silang lain.

PP mengatakan beliau tidak menyangka yang saksi YB Dr Ustaz Muhammad Khalil mengambil masa yang sangat sekejap untuk beliau lepaskan setelah beliau mencuba beberapa cara untuk menyoal saksi, tetapi semuanya dijawab mudah dan tenang oleh saksi dengan penuh berfakta. Sesi untuk YB Dr Ustaz Khalil hanya berlangsung kurang daripada 30 minit.

Pada sebelah pagi, Exco Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah telah hadir memberi keterangan kepada mahkamah. Prosiding bersambung esok dengan ADUN Bandar, YB Ahmad Shah Muhamed akan menjadi saksi sepina pempestisyen dijadualkan akan hadir memberi keterangan.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 April 2023 – HARAKAHDAILY 11/4/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!