Pemuda PAS prihatin nasib Noorazlan Ismail

Muhamad Sufi (kanan) sempat bertemu dengan Noorazlan pada 3 April 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Johor Bharu ke Istana Negara, di Kuala Lumpur selama enam hari dari 28 Mac hingga 3 April lalu mendapat sokongan daripada wakil Dewan Pemuda PAS Gombak.

Pemandu teksi berusia 48 tahun itu nekad melakukan sedemikian demi memohon kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rakyat yang memerlukan sepertinya.

- Advertisement -

Noorazlan yang tiba di pintu Istana Negara dan dibenarkan masuk pada jam 11.15 pagi pada 3 April itu bagi menyerahkan memorandum kepada  Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Exco Lajnah Isu Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohd Iqman Iberahim berkata, tindakan Noorazlan itu adalah bukti yang jelas bahawa rakyat semakin menghadapi kesempitan kewangan hasil daripada polisi kerajaan tersebut.

“Pihak kami amat bersimpati dengan Noorazlan atas tindakannya sebagai tanda protes kepada keputusan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mencadangkan duit simpanan pencarum KWSP boleh sebagai cagaran hutang untuk pinjaman bank,” katanya.

Sementara, Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Sufi Kamari pula berkata beliau secara peribadi menzahirkan rasa sedih, kecewa dan pilu apabila mendengar kisah benar Noorazlan yang berkorban jiwa raga demi perjuangannya untuk menuntut keadilan buat rakyat marhaen.

Menurutnya, beliau telah berjumpa dengan Noorazlan secara bersemuka pada 3 April lalu bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai tindakan nekad  yang dilakukan bapa kepada lima anak itu.

“Saya bertanya sendiri benarkah dia (Noorazlan) berjalan kaki daripada Johor Bharu ke Kuala Lumpur demi isu KWSP, dia menjawab bahawa tindakannya itu adalah demi keluarga dan juga golongan yang memerlukan,”  jelasnya kepada HarakahDaily.

Dalam pada itu, Muhamad Sufi  menyelar sesetengah pihak yang cuba memperlekehkan tindakan Noorazlan termasuk dalam kalangan wakil ahli parlimen, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang langsung tidak mahu berjumpa dengan Noorazlan dengannya walaupun Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menerima dan memberi ‘duit raya tuanku’ kepadanya sendiri ketika  di Istana Negara.

“Tindakan segelintir pihak yang memperlekehkan perjalanan beratus kilometer yang berjaya dilakukan Noorazlan  ini amat mengecewakan rakyat.

“Ini kerana yang penting, beliau sendiri mempunyai usaha murni dan tujuan yang amat baik terhadap isu rakyat yang benar benar memerlukan pengeluaran KWSP bersasar oleh pihak kerajaan sendiri,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik tindakan dasar kerajaan yang menjadikan KWSP sebagai cagaran  jaminan hutang bank sebagai tindakan yang zalim dan tidak mempedulikan nasib rakyat bawahan.

“Sepatutnya kerajaan wajib melindungi setiap kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa dan bukannya bersifat kejam dan tidak mengendahkan akan realiti nasib golongan marhaen seperti Noorazlan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -