Seramai 22 orang ditangkap kerana membaling objek dan membakar bunga api selepas kemenangan 2-1 Ajax Amsterdam pada separuh akhir Piala Belanda di Feyenoord, semalam.
Mengikut stesen penyiaran nasional NOS, pemain Ajax, Davy Klaassen, mengalami kecederaan di kepala apabila terkena objek yang dibaling dari tempat duduk penonton, menyebabkan permainan dihentikan ketika pemain dari kedua-dua pasukan keluar dari padang.
Perlawanan juga bermula lewat lima minit akibat asap bunga api yang dinyalakan penyokong Feyenoord. Perlawanan kemudian terpaksa dihentikan bagi membolehkan asap hitam pekat hilang.
Sebelum ini, diputuskan bahawa tiada penyokong di tempat lawan pada kedua-dua perlawanan suku akhir, selepas keputusan UEFA menyusuli larangan pihak berkuasa Itali terhadap penyokong Belanda.
Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) memberitahu akan memperkenalkan tindakan lebih ketat pada Khamis minggu depan.
Pengadil secara automatik akan menghentikan perlawanan jika objek dibaling ke padang dari tempat duduk atau jika peminat menceroboh padang. Jika objek terkena mana-mana pemain atau pengadil, perlawanan akan ditamatkan.
“Melalui langkah-langkah ini, mereka yang cuba menimbulkan masalah tidak akan lagi bermimpi untuk menyerang pemain utama di padang. Kami sudah selesai dengan itu,” kata Pengarah Bola Sepak Profesional KNVB, Marianne van Leeuwen.
“Pemain dan semua orang di atas padang mesti dapat melakukan tugas mereka dengan selamat pada setiap masa.” – REUTERS