Menteri Komunikasi memalukan kerajaan madani

- Advertisement -

MENTERI Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil baru-baru ini telah memaksa Berita Harian (BH) untuk mengubah hantaran posting di media sosial yang tertulis ‘OPR dijangka naik lagi seawal Julai’.

Pada pandangan YB Fahmi Fadzil, hantaran tersebut adalah satu fitnah kepada Kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, tajuk yang dipilih tersebut sebenarnya tidaklah sukar untuk difahami bagi mereka yang biasa dengan artikel ulasan ekonomi.

Mungkin YB Fahmi tidak mampu memahami laras bahasa ‘dijangka’ yang biasa digunakan oleh media. ‘Dijangka’ bermaksud ianya adalah semata-mata jangkaan berdasarkan bacaan pakar. Dalam konteks ini, pakar yang dimaksudkan adalah pakar ekonomi.

‘Arahan’ yang diberikan oleh YB Fahmi Fadzil kepada BH tersebut adalah satu episod yang memalukan dalam sejarah Kerajaan Malaysia, apabila Menteri Komunikasi sendiri gagal memahami amalan kebiasaan para pengamal media.

YB Fahmi Fadzil mungkin sudah terlupa bahawa Pakatan Harapan adalah yang paling lantang memperjuangkan kebebasan media. Adakah maksud sebenar kebebasan media adalah bebas mengkritik pihak lawan tetapi tidak boleh jika mengkritik Kerajaan PH?

Apatah lagi apa yang ditulis oleh BH tersebut bukanlah satu kritikan, sebaliknya hanyalah penyampaian berita apa yang dianalisis oleh Pakar Ekonomi. Tidak ada langsung keperluan bagi Menteri Komunikasi menentukan bagaimana media memilih tajuk.

Perbuatan YB Fahmi Fadzil ini telah ditempelak oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sendiri melalui satu kenyataan media. Namun, tidak ada langsung kenyataan balas oleh YB Fahmi Fadzil, seolah-olah tidak mengaku kesilapan beliau.

Jika YB Fahmi Fadzil ingin terus bersikap demikian, eloklah Menteri meletakkan jawatan dan pilih kerjaya sebagai editor akhbar.

PEMUDA PAS NEGERI SEMBILAN – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -