Bentang semula RUU Kawalan Tembakau dan Rokok

- Advertisement -

SAYA menggesa Kementerian tampil bertanggungjawab segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok bagi memastikan pengawalseliaan terhadap produk rokok selain merealisasi dasar Generational Endgame (GEG) berkaitan larangan merokok serta pemilikan produk rokok kepada generasi muda yang lahir pada tahun 2005 dan ke atas.

Malangnya, penggubalan akta ini tidak dapat disempurnakan dalam pembentangannya dalam Sidang Dewan Rakyat bagi sesi Parlimen ke-14 yang lalu akibat tekanan pihak yang berkepentingan. 

Tindakan Kementerian menyahsenarai bahan Nikotin daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952 menimbulkan kegusaran ramai berhubung penggunaan rokok elektronik atau vape yang tinggi dalam kalangan golongan muda.  

Ia bukan sahaja dilihat membelakangi usaha ke arah pelaksanaan dasar GEG tersebut, bahkan seolah-olah menggambarkan pihak Kementerian tunduk kepada tekanan pihak tertentu. 

Saya meneliti kenyataan Kementerian bertarikh 1 April 2023 yang menjelaskan bahawa suatu RUU baharu akan diperkenalkan bagi ‘mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi Nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.’

Persoalannya, mengapa pembentangan RUU tidak dilaksanakan terlebih dahulu sebelum tindakan menyahsenarai Nikotin ini?

Ketegasan Kementerian dalam soal ini sangat mustahak. Dasar GEG wajar diteruskan melihatkan kebimbangan penggunaan rokok elektronik atau vape yang tinggi khususnya dalam kalangan golongan muda. 

Ketiadaan kawalan terhadap penggunaan rokok mahupun vape dibimbangi akan mendorong kepada masalah yang lebih besar terhadap sektor kesihatan mahupun sosial. Apatah lagi implikasi terhadap golongan perokok pasif yang mengundang pelbagai komplikasi penyakit yang parah.

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’  AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
12 Ramadhan 1444H | 3 April 2023M – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -