Badar al-Kubra dan pertolongan Allah

Tuan-Ibrahim-Tuan-Man-01
- Advertisement -

ISLAM merupakan agama dan cara hidup yang menganjurkan keamanan dan jaminan keselamatan kepada semua manusia. Tiada paksaan untuk menganut Islam dan tiada paksaan untuk beriman dengan Al-Quran.

- Advertisement -

Peperangan adalah jalan terakhir setelah tiada cara lain bagi menegakkan keadilan, menentang pencerobohan dan kezaliman. Firman Allah:

‎أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” [Surah Al-Hajj: ayat 39]

Peperangan Badar adalah peperangan pertama dalam sejarah Islam walaupun sebelumnya umat Islam diseksa, dirampas harta benda, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman mereka. Dunia menyaksikan ketidakadilan sehingga kini, namun istilah adil hanya untuk mereka yang menentang Islam, walau dalam sistem demokrasi yang mereka laungkan.

Ramadan ialah bulan jihad yang telah menyaksikan berlakunya Ghazwatul Badr Al-Kubra, yang terjadi pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah (13 Mac 624M). Pertembungan di antara tentera Islam seramai 313 hingga 317 orang dengan tentera yang dipimpin oleh Abu Jahal ibnu Hisyam seramai 1,300 orang menyaksikan pertarungan yang sengit.

Rasulullah SAW mengadakan mesyuarat dengan para sahabat dan meminta pandangan pimpinan kaum Muhajirin dan Ansar dalam membuat keputusan sama ada untuk meneruskan peperangan atau sebaliknya.

Sebagai Rasul dan Ketua Negara, baginda mempunyai hak untuk membuat keputusan dan arahan. Tetapi selaras dengan perintah Allah agar diadakan mesyuarat (syura), Baginda adalah orang yang paling banyak mengadakan mesyuarat dalam memutuskan sesuatu perkara. Firman Allah:  

‎فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Surah Ali-Imran, ayat 159]

Tatkala Nabi SAW memanggil para sahabatnya dari pihak Muhajirin dan Ansar untuk mesyuarat, Miqdad bin al Aswad dari pihak Muhajirin tangkas tampil mengeluarkan kenyataan:

‎يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama Tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami pasti akan berperang bersama kamu berdua, maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran.

“Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi.”

Kemudian Nabi saw bersabda:

‎أَشِيْرُونِي أَيْهاَ النَّاسُ

“Berilah pendapat kamu wahai manusia.”

Maka tampillah Saad bin Muadz ra., wakil dari Ansar lalu berkata:

‎وَاللهِ لَكَأَنَّكَ تُرِيْدُنَا ياَ رَسُولَ اللهِ

“Demi Allah, seperti kamu mahukan kenyataan dari kami pula ya Rasulullah!”

Rasulullah SAW menjawab “ya!”

Lalu Saad bin Muadz menegaskan:

‎فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ

“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.

“Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun di antara kami yang akan berundur ke belakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.

“Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Mendengar penegasan dari wakil kaum Ansar, Nabi SAW terus mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju medan dengan sabdanya:

‎سِيْرُوْا وَ أَبْشِرُوْا فَإِنَّ اللهَ تَعاَلى قَدْ وَعَدَنِيْ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ وَ اللهِ لَكَأَنِّي اْلآن أَنْظُرُ إِلى مَصَارِعِ اْلقَوْمِ .

“Berangkat dan bergembiralah kamu, sesungguhnya Allah swt. telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan (pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal). Demi Allah, seakan-akan aku nampak tempat binasa mereka.”

Badar dan pertolongan Allah

Kemenangan perjuangan akan berlaku apabila datangnya pertolongan daripada Allah. Kekuatan pasukan, senjata dan kepimpinan yang baik jika tanpa pertolongan Allah, tidak mungkin akan beroleh kemenangan.

Lengkapkan syarat dalam perjuangan, menjaga hubungan dengan Allah, persiapan jentera yang kukuh, wala’ kepada arahan pimpinan selagi tidak bercanggah dengan syarak adalah prasyarat yang mesti dipenuhi. Selepas itu mohonlah pertolongan Allah. Baginda Rasul SAW menadah tangan sehingga jatuh selendang di bahunya, merintih dan bermunajat:

‎اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

“Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku, Jika binasa batalion ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembah-Mu di dunia ini.”

Baginda bermunajat kepada Allah dan mengadu akan kebimbangan baginda. Baginda bukan bimbang dengan kekalahan, hilang peluang menjadi pemimpin, jawatan atau harta, tetapi yang dibimbangi baginda ialah aqidah. Bimbang kekufuran, kerana ia akan melahirkan kesyirikan kepada Allah.

Maka berlakukan apa yang dikehendaki Allah.

‎وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” [Surah Ali-Imran, ayat 123]

Apa yang menarik, para sahabat boleh tidur lena dalam kedamaian sejuk cuaca kerana turunnya hujan pada malam itu.

Ali r.a. yang mengatakan (maksudnya), “Di antara kami tiada seorang penunggang kuda pun selain Al-Miqdad dalam Perang Badar. Dan sesungguhnya di antara kami tiada seorang pun melainkan dalam keadaan tertidur, kecuali Rasulullah SAW yang sedang solat di bawah sebuah pohon seraya menangis hingga pagi harinya.”

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan dari Asim, dari Abu Razin, dari Abdullah ibnu Mas’ud r.a. yang mengatakan bahawa rasa mengantuk dalam situasi perang merupakan penenang hati daripada Allah SWT, sedangkan mengantuk dalam solat merupakan godaan dari syaitan. Qatadah mengatakan bahwa mengantuk mempengaruhi kepala, sedangkan tidur mempengaruhi hati.

Firman Allah:

‎إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).” [Surah Al-Anfal, ayat 11]

Badar telah mencatatkan kemenangan gilang-gemilang buat Rasulullah SAW dan para sahabat. Namun ia tidak terhenti dengan kemenangan, kerana musuh tidak akan berdiam diri. Inilah yang berlaku selepasnya dengan beberapa siri peperangan. Allah mengingatkan kita dalam firman-Nya:

‎إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” [Surah Ali Imran: 140]

Pengajaran

Perjuangan Islam perlu diteruskan bagi menentang kebatilan dan kerosakan. Dunia perlu diurus tadbir oleh sistem yang diturunkan oleh Allah, bukan peraturan ciptaan manusia yang berasaskan hawa nafsu yang mencetuskan pelbagai kerosakan dan kehancuran kepada manusia dan alam seluruhnya.

Hari ini dunia memerlukan perubahan peraturan yang ada. Kegagalan liberal, kapitalis dalam sektor ekonomi hanya melahirkan jurang kekayaan yang melampau, berlaku penindasan, kezaliman ekonomi, riba berleluasa dalam masyarakat. Ketamakan telah mengambil alih sifat qanaah dengan apa yang ada, sehingga manusia menjadikan harta sebagai tuhan yang dipuja setiap saat.

Allah menggesa umat Islam agar terus memperjuangkan keadilan dan kemakmuran berasaskan syariat Islam, agar tidak merasa jemu dan lemah semangat. Kerana yang membezakan perjuangan ini ialah apakah tujuan utama dalam perjuangan. Apakah ingin mencari reda manusia atau reda Allah?

Firman-Nya:

‎وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [Surah An-Nisa’, ayat 104]

Marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa peperangan Badar ini agar terus istiqamah sehingga kita dianugerahkan kemenangan sementara di dunia atau kemenangan sebenar di saat bertemu Allah Azzawajalla.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
ADN Cheka – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -