Pakej rangsangan ekonomi kerajaan terdahulu amat penting

Mohd Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tohmahan bahawa pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini sebagai tidak berhemah disangkal sama sekali, malah hakikatnya ia sebenarnya sangat bertepatan dalam menjana pemulihan ekonomi ketika itu.

Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata, naratif tersebut perlu diperbetulkan kerana pakej rangsangan berkenaan adalah sangat penting dalam usaha untuk pemulihan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

- Advertisement -

Bahkan beliau berkata, tindakan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu itu adalah amat bertepatan bagi menjana pemulihan ekonomi negara dan PKS itu sendiri.

Pihak pembangkang ketika itu, ujarnya, juga memohon ditambahkan suntikan dana bukan dikurangkan sebagaimana yang dibangkitkan sepertimana pada ketika ini.

“Saya terbaca satu laporan berita astro awani 20 Ogos 2020, tajuknya ‘Kerajaan jangan kedekut, gandakan suntikan dana RM45 bilion bantu rakyat, Lim Guan Eng’.

“Kerajaan persekutuan tidak patut kedekut untuk menyuntik tambahan RM45 bilion, beliau berkata jumlah suntikan dana berjumlah RM90 bilion dengan pertambahan RM45 bilion bukanlah terlalu besar berbanding dengan pakej rangsangan Singapura yang berjumlah SG$108 bilion.

“Yang kedua kenyataan media Dato’ Sri Anwar Ibrahim, (yang berjudul) ‘Suntikan fiskal harus digandakan, 21 Ogos, Ketua Pembangkang’. 

“Maka, saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat jawatankuasa keatas rang undang-undang langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan penyakit Covid-19 dengan menambah sebanyak RM45 bilion lagi menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sehubungan  itu, Mohd syahir meminta penjelasan tentang pendekatan baharu di pihak MITI untuk menyokong dan menggalakkan pertumbuhan industri tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam masa sama beliau memohon menjelaskan pendekatan yang diambil MITI untuk pemain industri dalam kalangan PKS dapat mengambil manfaat dari segala program sokongan yang ditawarkan oleh pihak kementerian itu bagi pemulihan pasca pandemik secara lebih efektif.

Dalam butiran yang sama, beliau juga memohon pihak kementerian memberikan gambaran apakah langkah segera yang akan diambil untuk menambahbaik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan.

- Advertisement -