Usah guna MATRADE sebar agenda politik di luar negara

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPN) diharap tidak menggunakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menyebarkan agenda politik di luar negara.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) meluahkan kebimbangan J-KOM menggunakan MATRADE seperti dilakukan di sekolah bagi menyebarkan agenda tertentu.

Baru-baru ini Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mempersoalkan peranan J-KOM dalam kerajaan Malaysia Madani sama ada berfungsi sebagai lidah rasmi kerajaan dan bukan lidah rasmi parti politik.

Malah kebelakangan ini tular surat jemputan pelajar Semester 2, Tingkatan 6 di beberapa sekolah sekitar Baling, Kedah program anjuran bersama J-KOM dan Pejabat Pendidikan Daerah Baling.

Sedangkan MATRADE kata Dr Mohd Radzi sebuah agensi perdagangan luar kerajaan Malaysia yang berperanan membantu pengeksport Malaysia membangun dan mengembangkan pasaran eksport.

“Bagaimanapun peruntukan untuk MATRADE tahun ini lebih kecil berbanding tahun lepas,” katanya pada perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh itu beliau berharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak ketinggalan dalam perlumbaan industri sekarang.

Membahas isu sama Datuk Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, MATRADE diperuntukan sebanyak RM126 juta tahun ini.

Malaysia juga mengekalkan prestasi cemerlang pada 2022 dari segi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, dengan eksport mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tiga tahun lebih awal daripada unjuran. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -