Boleh tanpa TS Syed Mokhtar, tapi isunya persetujuan Pusat

Kekangan sebenar untuk pembangunan Kedah Aerotropolis dilaksanakan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih boleh diteruskan pembinaannya walaupun tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengumumkan penarikan diri dari projek tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana masih terdapat 19 syarikat atau pelabur lain yang sedia turut bersama mengadakan pembangunan tersebut bersama komponen Kedah Aerotropolis lainnya.

Bagaimanapun tegas beliau, isunya bukan pelabur atau pihak untuk membangunkan, tetapi Kerajaan Negeri secara rasmi belum menerima jawapan bertulis persetujuan mahupun menolak projek tersebut.

“Cuma PM (Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim) pi dok umum di Parlimen. Bukan cara macam itu kut nak urus projek,” kesali Sanusi terhadap Anwar yang tidak memberi perhatian sepatutnya kepada projek itu.

Malah, Anwar telah membuat penyataan palsu kononnya pihak Kedah tidak pernah mengemukakan permohonan, selain memaklumkan Syed Mokhtar menelefonnya memberitahu penarik diri dari projek itu, kelmarin.

Jelas Sanusi, bukan tokoh korporat itu sahaja mengemukakan permintaan untuk cadangan (RFP), tetapi terdapat lebih 20 syarikat lain turut berbuat demikian dengan menunjukkan minat dan keupayaan.

“Cuma kita panggil 20 itu kita buat interview. Siapa yang lebih kuat, siapa yang lebih ada keupayaan pada penilaian Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Teknikal KXP,” maklum beliau.

Katanya, sungguhpun terdapat syarikat daripada negara luar, beliau masih berkecenderungan memberi peluang kepada syarikat tempatan di mana dari lima syarikat tempatan telah disenarai pendekkan.

Menurut beliau, dari temuduga dan penilaian ke atas lima syarikat itu, dua dipilih di mana salah satunya milik Tan Sri Syed Mokhtar dan dikeluarkan surat tawaran untuk kerjasama (JV) dengan satu syarikat lain.

“Sebab kita tawarkan dia, dia kena JV dengan company satu lagi, pasal kita tengok business plan kita ialah kargo. Satu syarikat lagi itu, dia ada keupayaan untuk buat pembangunan dan dia sendiri sedang menguruskan mengendalikan kargo di China.

“Syarikat dia ada business yang sesuai untuk KXP dan dia ada partner yang sesuai untuk bangunkan. Alangkah baik kalau depa ini dikahwinkan. Cuma company Tan Sri (Syed Mokhtar) hanya berminat untuk bangunkan kawasan industri,” ujarnya.

Beritahu Sanusi, syarikat Tan Sri Syed Mokhtar juga adalah pengendali Lapangan Terbang Senai, Johor, namun pulangan pelaburan (ROI) bagi lapangan terbang sangat lambat iaitu lebih daripada 3 tahun.

Maklum beliau juga, KXP Airport City Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri (GLC) akan memegang 20 peratus kepentingan, manakala selebihnya 80 peratus dipegang kedua syarikat SPV tersebut.

Tindakan Anwar mengabaikan KXP juga bidas Sanusi, kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah jenis yang tidak mempercayai pegawai kerajaan dan menolak mereka kerana berfahaman pegawai sedia ada ‘milik’ kerajaan dahulu.

“Saya kata ni jadi kerajaan tapi pekak. Bila seseorang pegawai duduk di satu agensi, duduk di satu kementerian, dia menjalankan tanggungjawab dia berdasarkan bidang kuasa dia. Siapa pun jadi Menteri, kena pakai dia.

“Tak boleh pergi duduk buat ulasan sendiri, buat kesimpulan sendiri, tak boleh. Saya katakan baik Menteri Pengangkutan ataupun YAB Perdana Menteri sendiri tak merujuk kepada pegawai-pegawai yang telah lama berada di jabatan masing-masing. 

“Sebab itu buat cakap ikut suka. Bila sebut dalam belanjawan, dibatalkan, apa itu pun tidak diberi keutamaan. Bukan projek Persekutuan ini, ini projek orang lain. Yang pandai-pandai pi buat kesimpulan pasal apa?” persoalnya.

Sanusi juga membidas Anwar dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang tidak menyelaraskan perkara tersebut walaupun beliau telah mengajukan secara lisan dan surat rasmi untuk mengadakan pembentangan.

Tamatkan ECK, bukan tarik diri

Beliau turut mengambil kesempatan memaklumkan mengenai ECK Group yang dikatakan oleh banyak pihak telah menarik diri daripada penglibatan dalam pembangunan bersama KXP.

Terang Sanusi, sebenarnya beliau telah menamatkan penglibatan syarikat itu setelah gagal mendepositkan 125 peratus daripada RM2.3 bilion untuk pengambilan tanah sebagaimana syarat telah ditetapkan.

“Sebab kita bagi dia syarat daripada Julai sampai Februari pasai Seksyen 4 pengambilan balik tanah di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, pindaan tahun 2000 kita gazetlah kawasan itu dibuat pengambilan. Gazet itu akan tamat pada bulan Januari.

“Walaupun pada peringkat awal kita buat penilaian kepada keupayaan kewangan pengalaman JV partner dia daripada banyak syarikat di seluruh dunia ni tunjukkan komitmen bahawa mereka ini keupayaan bangunkan KXP. 

“Tetapi oleh kerana sampai tempoh dia failed. Saya tak ada bagi muka. Saya bukan ada favour siapa-siapa. Saya pun tak ada hutang siapa-siapa. Saya pun tak ada balas (ambil) duit dia ke,” ujarnya memaklumkan membuka kembali RFP kepada syarikat-syarikat lain yang berminat dan berkeupayaan. 

Sanusi mengimbas, sejak tahun 2013 iaitu sewaktu Barisan Nasional (BN) menjadi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Kabinet tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai projek itu walaupun asal mahu meminjam pembiayaan Pusat.

Ceritanya, permulaan dimohon RM2.5 bilion kemudian RM1 bilion bagi tujuan pengambilan tanah, tetapi hingga semasa beliau sebagai MB, Kerajaan Persekutuan tidak memiliki peruntukan tersebut.

Lalu beritahunya dibuka untuk swasta yang ada kemampuan untuk pengambilan tanah dan membangunkan ketiga-tiga komponen utama Kedah Aerotropolis melibatkan KXP, kawasan industri dan kawasan komersial.

“Yang orang nak bangunkan kawasan industri banyak. Orang nak bangun kawasan komersial banyak. Yang tak adanya orang nak buat pengambilan balik tanah. Kerana kita buat jangkaan kos untuk pengambilan balik tanah bagi tanah-tanah di kawasan ni ialah RM2.3 bilion untuk 9,800 ekar. 

“Sebahagian besar daripada tanah kawasan ni adalah tanah ladang Sime Darby, lagi 20 peratus adalah tanah individu dan juga struktur rumahlah. Pada masa itu ECK Development, kumpulan ECK ni dia kemuka dan dia tunjukkan keupayaan, kita bagi dia trial okey

“Saya bagi you sampai bulan Februari kalau you tak boleh parking 125 peratus daripada anggaran pengambilan balik tanah iaitu RM2.3 bilion, kita akan terminated you,” imbasnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -