Kes mahkamah tidak jejas sokongan terhadap PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin sokongan rakyat terhadap gabungan itu akan bertambah walaupun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan enam pertuduhan di mahkamah.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menerima maklum balas yang baik daripada rakyat terutama berkenaan sokongan terhadap PN.

Pada masa sama, katanya rakyat dan penyokong sedar tuduhan itu satu perancangan untuk melemahkan PN termasuk ketika berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan melibatkan enam negeri.

Namun beliau yakin ia tidak akan melemahkan prestasi PN, sebaliknya sokongan terhadap gabungan itu semakin bertambah.

“Kita yakin sokongan rakyat terhadap PN akan bertambah dan ia tidak akan melemahkan kita,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Bharu Kali ke-56 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Mesyuarat Agung berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Takiyuddin juga berkata, bagi menjelaskan perkara berkenaan, PN akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu semasa yang berlaku sekarang.

“Kita bertanggungjawab untuk menjelaskan keadaan sebenar dan akan memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang berlaku khususnya seramai 4.7 juta penyokong yang mengundi PN pada PRU lepas.

“Kita akan menggabungkan segala kekuatan iaitu PAS dari segi jentera, Bersatu dari segi figure dan Gerakan mewakili pemimpin bukan Melayu,” katanya.

Media semalam melaporkan Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan. Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -