PAS, BERSATU akan tanding 15 kerusi DUN majoriti Melayu

Kerusi campuran lain akan dimuktamadkan bersama GERAKAN

- Advertisement -

KEPALA BATAS: PAS dan BERSATU Pulau Pinang telah berjaya mencapai persefahaman untuk bertanding di 15 kerusi DUN yang terdiri daripada majoriti Melayu di negeri ini pada PRN tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, manakala baki DUN lain melibatkan kerusi campuran akan dimuktamadkan bersama GERAKAN dalam usaha merampas dari Pakatan Harapan (PH).

“Usaha kita lakukan sekarang adalah mengatur langkah untuk menguasai DUN-DUN yang telah kita target,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini sebentar tadi.

Jelasnya, antara kerusi-kerusi tersebut tentulah ada penyandang, kerusi strategik dan berpotensi di mana perkara tersebut telahpun berada dalam makluman pihak pimpinan PAS Pusat.

Terang beliau juga, pembahagian kerusi-kerusi tersebut dibuat atas semangat kesepakatan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan bersama-sama membangun dan membela rakyat negeri ini.

Untuk calon-calon PAS beritahunya, telah dicadangkan oleh pihak PAS Kawasan-kawasan sebanyak tiga nama dan dimasukkan ke dalam bank calon, seterusnya akan ditentukan kelulusan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Katanya, calon yang diluluskan bertanding akan menerima watikah di mana kerusi-kerusi ditandingi PAS nanti akan turut melibatkan calon bukan-Muslim dalam kalangan ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Ustaz Fauzi dalam sidang media itu juga menyentuh gemblengan usaha PAS kepada gelombang sokongan kebangkitan rakyat kini kepada PN untuk dimobilisasi sehingga pembubaran DUN Pulau Pinang.

Antara isu yang berlaku jelasnya adalah sikap tidak demokratik Kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP di mana telah memecat empat ADUN walaupun tempoh DUN bakal berakhir tidak lama lagi.

Sedangkan secara fakta jelas beliau, mereka tidak melompat parti, selain kerajaan memerintah melalui pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang juga berkelakuan sama dalam tindakannya baru-baru ini.

Bidas Ustaz Fauzi, tindakan autokratik dan tidak demokratik berlaku apabila mengenepikan pilihan anak kariah di beberapa masjid dalam pelantikan Pengerusi Masjid di negeri ini.

Menurutnya, para Pengerusi yang berkenaan tidak disahkan pelantikan semula mereka walaupun menerima mandat terpilih oleh anak kariah serta memiliki pengalaman, wibawa dan pencapaian masing-masing.

Oleh itu beritahunya, menerusi peguam dilantik iaitu Tetuan Yusfarizal & Zaid, tuntutan telah dihantar kepada pihak berkuasa agama negeri ini kerana dianggap menyalahguna tatakelola yang telah termaktub dalam enakmen.

“Tatakelola ini sudah ada sejak tahun 2004, tetapi tidak digunakan. Tiba-tiba tahun 2023 ini berlaku tindakan politik ini, sedangkan para Pengerusi ini adalah orang berjasa (di masjid masing-masing),” kesali beliau.

Tindakan itu ujarnya, menyebabkan tanggapan tidak baik dan menjatuhkan reputasi Pengerusi terbabit sedangkan mereka banyak menangani masalah musibah perpecahan yang berlaku dalam komuniti masyarakat. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -