Politik drakonian, tindakan barbarian untuk tekan lawan

- Advertisement -

MALAYSIA adalah sebuah negara demokrasi yang bertunjangkan kebebasan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Negara. Setiap parti politik yang berdaftar dalam negara ini sewajarnya menampilkan kematangan bersesuaian tempoh kemerdekaan negara yang sudah menjangkau usia 70 tahun. 

Politik drakonian dan kuku besi sudah tidak relevan dalam negara. Rakyat negara ini juga menolak budaya politik jalanan dan keganasan yang pernah menjadi pilihan sebahagian kelompok politik dalam negara ini. Politik emosi dan simpati sudah beralih kepada politik fakta dan data. Perubahan politik negara hanya sesuai di terjemahkan dalam bentuk pengundian dalam pilihan raya atau di Parlimen. 

PAS sebagai sebuah parti politik sah dan kini bersama gelombang kebangkitan rakyat melalui PERIKATAN NASIONAL (PN) konsisten berjuang mendapatkan kuasa dengan cara politik matang dan sejahtera. Sebarang salah guna kuasa dan memperalatkan badan undang-undang negara untuk mengekang saingan politik adalah tindakan mundur dan tidak bertamadun. 

Perkembangan politik semasa memperlihatkan  budaya politik tidak bertamadun yang telah lama dilupakan rakyat cuba dihidupkan semula Kerajaan PH yang memerintah sekarang. Menyekat kebebasan media dan aspirasi politik anak muda adalah tindakan ‘barbarian‘ moden. Ini semua adalah terjemahan daripada kegusaran dan kegerunan kerajaan yang ada terhadap penolakan dan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan.

Tindakan menangkap pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang direkacipta adalah politik tidak bertamadun. Plot drama ini dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri mengeluarkan tuduhan demi tuduhan sejak hari pertama memasuki pejabat rasmi. Kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih menjurus kepada apa yang disifatkan ‘pembongkaran’ kerja keras kerajaan lalu yang dengan wajah yang hodoh. Angka angka yang sentiasa berubah dan akhirnya di’serahkan’ kepada SPRM dan polis adalah tindakan menekan badan penguatkuasaan agar menerima tuduhan dan mencari serta mencipta apa apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak betul’.

Tindakan ini bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan PH ketika pembangkang. Hak asasi manusia kini hanya bersifat kebebasan yang melampaui teras dan prinsip islam namun tidak untuk suara kebenaran menegur kerajaan. Suara-suara rasis terhadap Melayu dan Islam seperti mendapat perlindungan sebaliknya kebebasan mengkritik kerajaan dipasung dan dipenjarakan.

PAS Perak menyeru kerajaan yang ada sekarang agar bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara. Tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara. Segala tindakan zalim dan menekan suara rakyat hanya akan meningkatkan suhu politik negara yang sememangnya sudah tidak menentu. 

Memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara adalah tugas utama kerajaan. Serahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada. Berikan kepada mereka kebebasan seluasnya bukan dengan menyerahkan ‘apa yang dikehendaki’ pemerintah untuk mereka mencari atau mencipta bukti terhadap musuh politik.

Rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga Ahli Parlimen dan ADUN, masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat. Perubahan politik boleh berlaku pada bila-bila masa melalui jalan demokrasi yang terbuka. Jangan jadikan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau. Ini semua tidak baik untuk masa depan rakyat dan negara. 

Semoga negara Malaysia terus stabil dan suasana politik matang menjadi budaya rakyat sama ada parti politik kerajaan mahupun pembangkang. PAS Perak akan terus memaksimakan ruang demokrasi yang ada demi mendaulatkan Islam dan kestabilan politik untuk kesejahteraan rakyat.

“Malaysia Sejahtera”

YB RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak
9 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -