J-KOM: Dari ‘perkakas politik’ ke ‘macai politik’?

- Advertisement -

PROF Agus Yusoff tidak perlu menafikan bahawa jabatan yang sedang dipimpinnya kini adalah memang benar-benar perkakas politik. Biar madani penuh di mulut, percakapan disulami madani dan madani, akhirnya segala tindakan tidak pun ‘memadani’ dengan fungsi sebenar.

Jangan kata mahu membantu kerajaan sebagai jambatan antara rakyat dan pemerintah apabila timbalannya pun dilantik dari kalangan ahli politik PAN yang telah dua kali hilang deposit dalam pilihan raya. Kerja timbalannya juga tak berbekas dan bermanfaat untuk rakyat, hanya yang kedengaran saman orang itu dan ini. 

Agus mengakui melantik calon Kuala Krai yang tewas itu, “Syam Ghaz adalah timbalan saya. Gaji dan elaunnya tidak sampai pun satu per tiga daripada jumlah RM50,000 yang disebutkan,” katanya. 

Soalnya di sini Prof, jangan kata satu pertiga, kalau bayar RM1,000 sebulan pun tiada manfaat juga kepada rakyat jika 24 jam kerjanya memfitnah dan mengapi-apikan sentimen dalam kalangan rakyat sahaja. Cuba lihat isu HIMPIT tempoh hari, timbalannya antara paling kuat meloncat dan ‘membobok’ pagi ke petang selama beberapa hari.

Mohammad Agus juga memberitahu dia melantik aktivis politik itu kerana yakin dengan komitmen yang boleh diberikan bagi menjayakan program kerajaan dengan rakyat. Katanya Sham Ghaz seorang anak muda yang aktif, bertenaga, mempunyai kesungguhan, dan komited menjalankan tugasnya.

Prof, daripada 32 juta rakyat negara ini, adakah calon hilang deposit dua penggal ini yang ada kesungguhan, komited dan bertenaga? Kalau orang di dua kawasan yang ditandinginya itu pun telah menolak ‘kesungguhan’ dia, yang dilihat hari-hari kerjanya menabur prasangka kepada pihak lain, maka apa sebab seorang Profesor pencen mahu ‘memelihara’ sosok ini?

Baik, berbalik kepada fungsi J-KOM seperti Prof sebutkan, ‘Fungsi J-KOM ada tiga yang utama, iaitu membudayakan ilmu, mendigitalisasikan masyarakat dan meningkatkan patriotisme rakyat’.

Maka rakyat ingin tanya, budaya ilmu apa yang telah Prof bawa sepanjang beberapa bulan ini? Adakah wujud manfaat langsung atau tidak langsung kepada budaya mewacanakan ilmu seperti yang dihasratkan?

Kini kebimbangan Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed satu ketika dahulu kelihatan sedang berlaku. 

J-KOM yang dipimpin Agus kini, selain dilihat berlaku pertindihan fungsi dengan agensi lain, langkah penjenamaan semula jabatan berkenaan juga akan gagal akhirnya. 

Satu lagi yang jangan kita lupakan, dahulu Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan berhempas pulas mahu membenamkan J-KOM ini. Mereka bersungguh-sungguh menegaskan bahawa di bawah Belanjawan 2021, RM158 juta diperuntukkan kepada Jabatan Penerangan dan RM479 juta diperuntukkan kepada RTM. Jadi apa perlunya lagi J-KOM?

Maria Chin misalnya memberitahu dalam KKMM sendiri sudah ada Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) dan tidak perlu ditubuhkan jabatan baharu dengan peruntukan yang dianggap tidak munasabah, berjumlah RM85 juta pada waktu itu.

Kata Maria, peranan JAPEN sendiri sudah cukup untuk memberi penerangan komunikasi kepada masyarakat terutama di luar bandar kerana jabatan ini mempunyai peralatan komunikasi yang lengkap, dengan kakitangan lebih 1,000 orang yang ditempatkan di 195 daerah dengan tugasan menyampaikan penerangan kepada masyarakat.

Usul penentangan ini pada waktu itu dibawa oleh Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Ahmad Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Fuziah Saleh (Kuantan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) yang mendakwa selain membazir duit rakyat, fungsinya adalah sebagai alat propaganda kerajaan. Kini kita mahu tanya, apa khabar Fahmi Fadzil?

Seterusnya Prof sendiri sebenarnya tidak layak memimpin J-KOM kerana telah banyak pandangan dan telahan yang beliau buat akhirnya ‘ke laut’ dan tersasar. Contoh dahulu beberapa kali beliau membuat pandangan nujum mengatakan PAS akan kalah di Kelantan, yang akhirnya berlaku adalah di sebalik. PAS terus kuat dan mempersada kedudukannya.

Antara lain juga berkait dengan royalti minyak Kelantan. Prof Agus dalam analisisnya dahulu pernah menyatakan Kelantan mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai di wilayah perairannya berasaskan perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982. Namun apabila menjawat ‘boss’ J-KOM beliau hanya mampu menyebut, ‘Untuk negara kita maju ke depan, hentikanlah bermain dengan sentimen perkauman yang meresahkan rakyat’.

Prof, apa kaitannya royalti dengan isu sentimen perkauman? Siapa yang bermain isu kaum sekarang ini? Rakyat Kelantan hanya mahukan royalti minyak, tak kurang tak lebih. 

Ringkasnya, J-KOM tak perlulah menafikan bahawa ia alat perkakas politik saat ini. Kita terima hakikat itu, cuma mahu mereka ada letakkan sedikit batas dan sempadan. Jangan sampai jadi perkakas macai politik bersifat bangsat. 

MOHD HUSHAIMI HUSSIAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -