K’jaan perlu teliti kesan kenaikan harga bahan binaan

Terutama terhadap rumah mampu milik (RMM)

- Advertisement -

DALAM sesi perbahasan usul menjunjung kasih Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada 21 Februari yang lepas, saya berpeluang membangkitkan isu kenaikan harga bahan binaan yang semakin meningkat hampir saban bulan. Hal ini amat memberi kesan terhadap kos pembinaan rumah di pasaran lebih-lebih lagi dalam usaha Kerajaan menjayakan matlamat pembinaan 500,000 rumah mampu milik (RMM) menjelang tahun 2025.

Antara pihak yang terkesan secara langsung adalah kontraktor atau pemaju RMM yang terpaksa menanggung kos kenaikan sepanjang proses pembinaan rumah, walhal harga rumah yang dijual kepada pembeli telah dipersetujui secara jelas di peringkat awal tempoh pembelian. 

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) pada suku ketiga tahun 2022 menyatakan kira-kira 75 hingga 85 peratus projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di negara ini berada dalam keadaan kritikal disebabkan kenaikan harga bahan binaan yang melebihi 15 peratus dalam tempoh inflasi kian meruncing, memberi gambaran yang jelas mengenai situasi yang kian menghimpit pihak pemaju dan kontraktor pada masa ini. 

Selain itu, pembeli juga bakal terkesan dengan situasi ini di mana mereka berdepan risiko rumah  yang telah dibeli tidak dapat disiapkan oleh pemaju mengikut tempoh yang ditetapkan kerajaan. Bagi pembeli yang masih belum membeli rumah pula, terpaksa akur dengan kadar kenaikan harga RMM yang semakin meningkat daripada sebelumnya. 

Oleh itu, saya berpandangan dalam usaha menjayakan pembinaan 500,000 RMM di seluruh negara menjelang 2025, kerajaan harus meneliti dan memperinci pelbagai aspek dalam memastikan ia tidak menjadi beban yang berat khususnya kepada golongan B40 yang rata-rata amat mengharapkan inisiatif projek rumah mampu milik ini untuk memiliki kediaman sendiri. 

Justeru, besarlah harapan saya agar kerajaan dapat menumpukan ke arah perancangan yang lebih strategik dan mampan bagi membantu pihak-pihak yang terkesan secara signifikan dengan situasi ini secara langsung mahu pun tidak langsung. 

“Malaysia Sejahtera”

YB DATO’ DR. ALIAS RAZAK
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -