Saifuddin bagai meludah ke muka sendiri

Anak muda undi PN dikatanya tak berpelajaran tinggi

- Advertisement -

TERLALU banyak komen dan respon balas oleh rakyat terhadap kenyataan dangkal disulami ‘denial syndrome’ oleh YB Menteri Dalam Negeri (KDN) kelmarin. 

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), memberi taklimat kajian pada Konvensyen PH Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani.

“Mana hat pelajaran tak berapa tinggi… pendapatan tak berapa tetap hat tu… hat naik motor sana sini bagi (undi) kat PERIKATAN (NASIONAL),” ujarnya mengulas sokongan anak muda kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRU15 lalu.

Wah… wah…. Saifuddin, sedap muncung sungguh bercakap dan merendah-rendahkan IQ, ilmu, pilihan dan selera anak muda Malaysia. 

Kalau di Kelantan contohnya, kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN), bahkan PH sendiri yang hilang deposit berkali-kali di negeri ini, khasnya melihat PRU15 terbaharu dengan kekalahan 14-0.

Maka adakah Saifuddin mahu katakan semua anak muda di seluruh Parlimen ini ‘tak tinggi pelajaran, pendapatan tak tetap dan naik motor sana sini’?

Tak perlu jauh, tengok juga Negeri Kedah tempat di mana Saifuddin bergelumang dengan politik setempat bertanding PRU13 sehingga PRU15 di Kulim-Bandar Baharu. PN sapu bersih semua Parlimen kecuali Sungai Petani yang dimenangi PH melalui calonnya Dr Taufiq Johari.

Itupun, beliau menang dengan majoriti ‘hanya’ 1,115 undi dalam saingan lima penjuru. Kita tulis ‘hanya’ kerana di semua Parlimen lain, PN menang besar sama ada dekat 10,000 sehingga 30,000 majoriti. 

Nak tanya Saifudin, semua pengundi muda Kedah ini naik motor sana sini gamaknya sehingga ‘tak sempat belajar tinggi’ dan ‘tak stabil pendapatannya’ tetapi mereka sempat menyembamkan PH dan Umno ke lumpur sawah? Kalah 14-1 di Kedah lagi mau sembang kah?

Negeri Jelapang Padi ini juga menjadi satu medan yang telah menguburkan banyak nama besar. Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi, selain Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan Setiausaha Agungnya, Datuk Amiruddin Hamzah di Kubang Pasu. 

Turut gagal mempertahankan kerusi masing-masing adalah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap serta Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Baling. Saifuddin sendiri bekas Menteri PH 2018-2020 dahulu pun tewas juga di Kulim-Bandar Baharu. 

Adakah mahu dikatakan ‘budak-budak motor sana sini yang tak tinggi pelajaran dan tak tetap pendapatan’ ini semuanya tak pandai mengenang jasa-jasa tokoh besar ini kepada negara? Eh… Saifuddin, rakyat sudah lama bijak dan cerdik. PN dengan pakej Bersih dan Stabil (BEST) telah menambat hati semua lapisan masyarakat. 

Jangan tidur dan lena dalam sindrom penafian. Orang Melayu majoritinya telah menolak PH-BN. PRU15 tempohari sebagai sejarah Malaysia menyaksikan 21.17 juta pengundi rakyat Malaysia paling ramai keluar menunaikan tanggungjawab mereka. 

Pertambahan sebanyak 29.43 peratus iaitu kira-kira 6.23 juta jumlah rakyat yang telah keluar mengundi kali ini melibatkan pengundi baharu terdiri daripada komposisi anak muda 18 tahun dan 21 tahun ke atas. PERIKATAN NASIONAL (PN) menerima peningkatan tertinggi sebanyak 43.7 peratus. 

Pendek kata, kenyataan Saifuddin kelmarin, terlalu mudah untuk ditolak dan dinafi oleh mana-mana data dan rekod pilihan raya lalu. PH perlu menerima hakikat kebangkitan rakyat tempoh hari yang menolak PH dan BN.

Kalian menjadi kerajaan pun, kerana menggadaikan prinsip perjuangan masing-masing. Yang diratib penyamun, diajak rakyat tolak perompak dan kleptokrat, akhirnya kamu yang kelepek sanjung julang mereka. 

Sebelah sana pula, yang meratib bahayanya rasis, cauvinisnya DAP, ‘No Anwar No DAP’, akhirnya kalian jilat ludah sendiri. Pelik bukan?

Cukuplah Saifuddin selaku Menteri KDN melatah dalam isu ‘cosplay’ perarakan sempena program HIMPIT baru-baru ini yang menunjukkan kedangkalan mendapatkan maklumat dan ketidakmatangan memberi ulasan. Atau Saifuddin mencari perhatian dengan publisiti murahan?

Tapi kadang-kadang terfikir juga, Saifuddin tewas kepada Rafizi Ramli dalam pertandingan Timbalan Presiden PKR dahulu, kenapa? Mungkinkah Rafizi disokong oleh ahli-ahli parti yang bijak, yang pelajaran tinggi, yang tinggi pendapatannya?

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!