PH semai benih Islamofobia dalam negara

- Advertisement -

REAKSI balas pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap isu perarakan pakaian dan replika warisan Islam yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu tempoh hari jelas secara tidak langsung menyemai benih Islamofobia dalam negara.

Isu ini kelihatan sengaja dibesar-besarkan tanpa sebarang sebab yang kukuh. Walhal jika diteliti program tersebut secara menyeluruh, ia sekadar perarakan yang meletakkan tema pakaian dan replika warisan Islam. 

Tidak dapat dizahirkan niat (intention) mahupun tindak tanduk yang boleh disabitkan dengan sebarang bentuk perlakuan jenayah atau menggugat ketenteraman awam. 

Oleh itu, tidak sepatutnya berbangkit soal pemakaian serta replika pedang warisan Islam yang digunakan.

Perarakan dengan tema perjuangan jihad Rasulullah S.A.W dikaitkan dengan keganasan seolah-olah menjadi kesalahan untuk umat Islam menghayati sirah Islam serta ketamadunan silam. 

Kini persoalan ini berbalik kepada golongan yang tegar mengkritik – adakah sebarang bentuk imej Islam akan turut dikaitkan dengan keganasan sebagaimana tuduhan Islamofobia yang berlaku di Barat saban masa?  

Lebih menyedihkan lagi apabila umat Islam juga terikut dengan rentak musuh. Mereka diam ketika adanya himpunan pengganas Komunis. Mereka diam ketika golongan LGBTQ membanjiri ibu negara untuk berhimpun. Mereka juga diam ketika program Nijigen Expo yang juga menggunakan cosplay dengan replika senjata tajam.

Persoalannya, mengapa mereka sengaja memperbesarkan isu sedemikian kalau bukan itu adalah sebahagian usaha menyemai imej buruk terhadap Islam? 

Adakah PH juga mahu imej Islamofobia turut dihalakan terhadap Islam? 

Perkara ini seolah-olah memberikan gambaran unsur yang bersangkutan dengan agama Islam itu adalah sesuatu yang ekstrem dan bahaya. 

Tanpa kita sedar, benih-benih Islamofobia telah tumbuh di Malaysia dan PH bertanggungjawab terhadap semaiannya. 

Saya menggesa kepimpinan PH agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberikan implikasi negatif kepada Islam. Malang sekali jika permusuhan politik yang tidak bersempadan sehingga akhirnya merosakkan wajah Islam khususnya di mata masyarakat bukan-Islam.

YB DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -