Jadikan Jasin pusat pelancongan Islamik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mencadangkan agar Jasin dijadikan sebagai Pusat Pelancongan Islamik sebagai satu tarikan untuk pelancong datang ke kawasan itu.

- Advertisement -

Katanya, ini berdasarkan kepada latar belakang kawasan ini yang dipenuhi dengan aktiviti agama dan pusat-pusat pengajian Islam selain mempunyai tokoh-tokoh ulama terkemuka.

“Aktiviti ibadah dan menuntut ilmu agama merupakan amalan yang disanjung tinggi oleh rakyat Jasin. Sebagai contoh, Serkam terkenal sejak turun-temurun sebagai serambi Makkah.

“Terdapat tidak kurang daripada 14 pondok-pondok pengajian agama yang dipimpin oleh ulama Melaka yang berwibawa. Antaranya tuan guru daerah Jasin yang terkenal dan mempunyai ribuan murid di seluruh negara adalah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar, ulama besar Melaka pada hari ini,” ujarnya.

Tuan Guru Zulkifli yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, Jasin juga mempunyai lokasi-lokasi yang sangat menarik seperti Kolam Air Panas Bemban dan juga Halal Hub Melaka di Serkam Darat.

Katanya lagi, Jasin mempunyai pesisiran pantai yang indah seperti Pantai Sireng yang menjadi tumpuan rakyat selain beberapa pangkalan nelayan yang menarik.

“Saya ingin mencadangkan dengan ciri-ciri khusus Parlimen Jasin ini agar kerajaan menjadikannya sebagai pusat pelancongan Islam dengan izin Islamic Tourism Centre dan tumpuan pelancong Islam dari seluruh dunia,” katanya ketika perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Namun, katanya untuk mencapai matlamat membangunkan Jasin sebagai pusat pelancongan Islam, beliau memohon kepada kementerian-kementerian berkaitan agar serius dalam menaik taraf beberapa infrastruktur asas di daerah Jasin sesuai dengan kapasiti rakyat pada hari ini. – HARAKAHDAILY 22/2/23

- Advertisement -