56 syarikat Britain kekal kerja 4 hari seminggu

Polisi bekerja empat hari seminggu yang diuji di Britain dalam tempoh enam bulan lalu menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan prestasi pekerja. (FOTO: FORSA)
- Advertisement -

LONDON: Majoriti syarikat-syarikat Britain yang terlibat dalam projek menguji keberkesanan bekerja empat hari seminggu memutuskan untuk kekal dengan polisi itu, selepas mendapati ia berjaya meningkatkan prestasi pekerjanya.

- Advertisement -

Dalam tempoh ujian yang memakan  masa selama enam bulan itu, pekerja di 61 buah syarikat di seluruh Britain bekerja secara purata 34 jam sepanjang empat hari dalam seminggu antara Jun dan Disember 2022, sambil memperoleh gaji sedia ada, lapor Reuters.

Daripada jumlah itu, 56 syarikat, atau 92 peratus memilih untuk meneruskan polisi – 18 daripadanya secara kekal.

Percubaan itu adalah yang terbesar di dunia setakat ini, menurut Autonomy, sebuah organisasi penyelidikan yang berpangkalan di Britain yang menerbitkan laporan itu bersama sekumpulan ahli akademik; yang mendapat sokongan daripada kumpulan 4 Day Week Global yang berpusat di New Zealand.

Kebanyakan syarikat yang terlibat, merentasi pelbagai sektor dan saiz dengan 2,900 kakitangan secara keseluruhan, berkata produktiviti pekerja masing-masing berjaya dikekalkan.

Kakitangan syarikat-syarikat berkenaan berkata, kesejahteraan dan keseimbangan kehidupan dengan kerja (work-life balance) mereka telah bertambah baik; manakala data menunjukkan kemungkinan kaki tangan untuk berhenti kerja berkurangan, impak polisi berkerja 4 hari seminggu itu.

Pengarah organisasi 4 Day Week Campaign, Joe Ryle dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, perkembangan terbaharu itu  adalah  detik kejayaan besar bagi gerakan ke arah minggu bekerja empat hari dalam sektor pekerjaan.

“Keputusan yang luar biasa ini menunjukkan bahawa minggu empat hari tanpa kehilangan gaji benar-benar berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2023