PAS dan keganasan: Propaganda dan stigma yang diulang

- Advertisement -

BILA mana timbul isu berkaitan dengan keganasan yang sering cuba dibawakan naratif oleh musuh terhadap PAS, ia sebenarnya, bukanlah isu yang baharu berlaku. Semenjak dahulu lagi, PAS sering ditempelkan dengan fitnah yang PAS adalah sebuah gerakan yang ekstrem, jahat dan tidak bertamadun. Fitnah ini juga akan diserikan lagi dengan kenyataan bahawa PAS tidak tahu memerintah, kolot, bodoh, jahat, pecah amanah dan sebagainya.

Ironinya, semua tuduhan itu, tidak pernah dapat dibuktikan secara fakta akan kebenarannya. Tidak dinafikan, mungkin ada berlaku beberapa kelemahan dalam PAS. Tetapi ia bukan amalan. Maksudnya, ia adalah sesuatu yang bukan boleh dijadikan sebagai ‘trade mark’ PAS. Lainlah kalau orang bercakap mengenai rasuah, ia adalah ‘trade mark’ Umno atau pembohongan, ia adalah hak eksklusif PH sewaktu berkempen.

Pernah PAS kalah teruk dalam tahun 1986. Selain dari isu Memali (yang kemudiannya menjadi menu wajib setiap kali kempen PRU oleh BN kerana keberkesanannya menonjolkan PAS sebagai parti ganas), ada juga peristiwa sekumpulan pemuda yang menyamar menjadi ahli PAS, masuk kampung dengan motosikal, malam sebelum mengundi, melakukan aksi-aksi jahat, bising, ganas yang menaikkan kemarahan orang kampung. Akhirnya, PAS yang disalahkan, walaupun tidak kenal siapa pemuda-pemuda itu.

Al-Maunah yang punah

Bagi pengundi muda, mungkin ada yang tidak pernah mendengar mengenai al-Maunah. Ia adalah kisah mengenai sekumpulan lelaki, diketuai oleh seorang yang bernama Amin, dan menggelarkan kumpulan mereka al-Maunah. Kumpulan ini bercita-cita untuk merampas negara melalui jalan perang. Maka melatalah mereka ke seluruh ceruk alam Malaysia ini, bagi merekrut ahli-ahli baharu.

Kena dengan tema jihadnya, ada segelintir ahli PAS, terpesona dengan janji-janji itu, konon mahu ke syurga kata mereka. Presiden PAS bertindak pantas dengan segera mengumumkan, ahli PAS yang terlibat dengan al-Maunah, mereka boleh keluar dari PAS. Kedegilan beberapa orang ahli PAS, mengatasi arahan Presiden yang juga seorang ulamak untuk menuruti perjuangan seorang yang tidak diketahui mana asal usulnya. Mereka kekal berjuang bersama al-Maunah. Lebih istimewa mereka juga mempelajari ilmu kebal senjata. Tetapi timbul soalan lain, bagaimana mahu mati syahid, jika tidak lut senjata?

Pada hari yang dirancang, Amin telah berjaya membawa beberapa pencinta syahid yang ditipu itu ke Bukit Jenalik, Sauk, Perak, untuk rancangan mereka memulakan perang. Senjata berjaya mereka curi dari dua kem tentera berdekatan, dengan kaedah penyamaran, tanpa disedari. Amin dikira hebat kerana berjaya memperbodohkan tentera yang berkawal di kem itu dengan mudah. Dapatlah mereka 114 laras berbagai senjata dengan 18,000 peluru dikeluarkan menggunakan tiga buah Pajero.

Akhirnya mereka dikepung oleh pihak keselamatan, selepas dengan bodohnya menjalani latihan bersenjata di bukit tersebut yang didengari oleh penduduk kampung. Berlaku satu peristiwa yang menakjubkan, salah seorang ahli al-Maunah itu telah berjaya dipujuk untuk menyerah dengan menggunakan lagu P. Ramlee. P. Ramlee sememang mendahului zaman, pengganas cair mendengar lagu Getaran Jiwa beliau.

Setelah semuanya berakhir, maka acara menempelkan PAS dengan keganasan, ekstremis, dilakukan dengan lebih giat lagi. Dan bagi meyakinkan semua pihak, bagaimana al-Maunah berjaya menyelinap masuk ke dalam kem dan keluar penuh dengan senjata, satu demonstrasi atau lakonan semula telah diadakan. Entahlah kalau mahu dikatakan terdesak. Manakala Mursyidul Am PAS ketika itu, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) meminta agar hukuman gantung sampai mati ke atas Amin, dilakukan di hadapan beliau, yang mana permintaan itu tidak dipenuhi.

PASTI dan SAR semenjak dahulu ditakuti

Tidak puas dengan itu, BN juga sering menyerang PAS menggunakan tema keganasan ini dengan menuduh PASTI sebagai salah satu tempat memupuk keganasan. Bagaimana kata mereka, gambar-gambar pimpinan negara (baca BN) dipijak-pijak oleh anak-anak PASTI. Silibus yang diajar juga tidak sesuai kerana ia menjurus kepada ekstremis.

Ada lagi. Pelajar SAR, yang kita sedia maklum majoriti SAR adalah kepunyaan PAS, turut dituduh sebagai pemuja lagu black metal, death metal dan berbagai lagi genre muzik yang mengagungkan syaitan, serta melahirkan pelajar yang berfikiran ganas. Semua organisasi PAS dikira sebagai ganas.

Anehnya, dalam semua gelaran keganasan yang diberi kepada PAS dengan cara fitnah itu, tetapi yang mati dibunuh berkaitan politik, ialah Dato’ Mohamad Taha Talib (bekas Speaker DUN Negeri Sembilan), Altantuya, As-Syahid Ibrahim Libya, Abdul Samad Gul dan Tragedi Lubuk Merbau. Semua pembunuh itu, ada yang langsung dibuktikan dilakukan oleh Umno, ada yang dikaitkan dengan Umno. Tetapi tiada tuduhan yang PAS pelakunya. Namun orang PAS antara yang menjadi mangsa peristiwa pembunuhan itu.

Apa beza PH dan BN?

Dan kini, semua kerja jahat dan fitnah itu diwarisi oleh PH. Padahal sebahagian mereka yang ada dalam PH dahulu inilah yang yang bermati-matian mempertahankan PAS bukan kumpulan ganas dan berbahaya, sebaliknya BN dan Umnolah yang jahat, Maha Firaun, Maha Zalim, dengan bukti yang ada, kata mereka. Sekarang PH menggunakan semula cara ugut dan fitnah BN itu. Apa beza PH dengan BN dahulu? Tiada beza, kerana kedua-duanya tidak membawa Islam sebagai pedoman dan mereka terbabas.

PAS tetap ‘steady’ dengan semua ini. Presiden PAS mendapat pingat Tan Sri. Kerajaan-kerajaan PAS, mendapat anugerah-anugerah cemerlang. Pertubuhan antarabangsa mengiktiraf PAS. Pihak keselamatan membuka pintu kepada PAS, bagi sebarang kerjasama. Pihak kerajaan menerima pelajar-pelajar lepasan PASTI ke sekolah mereka, sama seperti pihak universiti menerima pelajar SAR. Pemuda-pemudi PAS diterima sebagai ahli profesional atau bukan profesional dalam bidang masing-masing. Bantuan daripada NGO PAS, diterima, malah diiktiraf. Takkanlah pengganas diiktiraf, kan?

PAS dan keganasan memang berpisah tiada, tetapi kenyataan itu hanya bagi otak pemfitnah, bukan kepada manusia normal yang cintakan kedamaian, berakal waras, beriman, tidak mempercayai pembohongan. Begitulah yang terjadi kepada semua pemfitnah, walaupun bukti sudah terbentang di hadapan mata, tetapi apabila iblis dan syaitan penghasut menguasai diri, maka akan berundurlah para malaikat yang menasihati. Isu ini hanya untuk mereka alihkan isu yang lebih besar sekarang bahawa PH lebih teruk dari BN.

Nota tambahan eksklusif:

Dalam al-Maunah, selain ilmu kebal, turut diturunkan ilmu kebatinan iaitu ilmu bertahan lama di ranjang. Lamanya di ranjang itu sehingga isteri minta berhenti. Ilmu ini amat tipikal kepada lelaki, kerana akan melahirkan lagi perasaan yang sememangnya dia adalah gagah perkasa, tulennya kejantanan mereka dibuktikan dengan lamanya di ranjang. Ia juga penambah keyakinan bahawa Ketua al-Maunah, Amin itu, tinggi ilmunya.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/2/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!