UNITED KINGDOM: Duangpetch Promthep, salah seorang budak lelaki yang diselamatkan dari gua yang dilimpahi air banjir di Thailand pada tahun 2018 oleh pasukan penyelamat antarabangsa, telah meninggal dunia di United Kingdom.
Remaja berusia 17 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, tetapi punca sebenar kematiannya tidak jelas, lapor BBC.
Ibu Promthep dilaporkan telah memaklumkan kematiannya kepada kuil Wat Doi Wao di kampung halamannya.
Selepas berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 2018 itu, Promthep telah memulakan kursus pengajian untuk menjadi sami Buddha yang baru sebagai penghormatan kepada Samarn Kunan, penyelam sukarela dan bekas SEAL tentera laut Thailand yang kehilangan nyawanya semasa misi menyelamatkan mereka.

Seorang sami Buddha dan bekas guru Duangpetch, Supatpong Methigo berkata dalam catatan Facebook pada Rabu bahawa dia telah dimaklumkan oleh nenek Duangpetch yang remaja itu telah meninggal dunia dalam ‘kemalangan’.
Dia menyifatkan Duangpetch sebagai seorang budak yang pandai belajar dan rajin menunaikan sembahyang.
“Dalam kehidupan seterusnya, semoga kamu menjadi pelajar saya semula,” tulisnya di Facebook.
Sementara Thai Zico Foundation, yang membantu Duangpetch memperoleh biasiswa untuk belajar di England, menyatakan takziah dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Bekas kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang, yang yayasannya membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Leicestershire, menyifatkan mendiang sebagai seorang remaja lelaki yang sopan dan baik hati yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak untuk negaranya.

“Saya mahu melihat impiannya direalisasikan… tetapi berehatlah sekarang Dom,” tulisnya di Instagram.
Pada 2022, Duangpetch mendaftar di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Leicestershire, yang menurutnya adalah ‘impian yang menjadi kenyataan’.
“Saya berjanji akan fokus dan melakukan yang terbaik,” katanya dalam catatan di Instagramnya sebelum ini.
Akademi Eakapol, yang ditubuhkan oleh bekas jurulatih Akademi Wild Boar, Eakapol Chanthawong dalam catatan Facebook pada Rabu pula berkata bahawa Duangpetch akan menjadi contoh kepada ahli pasukan yang lebih muda sebagai pejuang yang tidak pernah putus asa dalam perjalanan bola sepaknya.
“Semoga anda berehat dengan tenang dan berada di dunia yang baik, Dom”, tulisnya di Facebook.

“Semoga anda berehat dengan tenang dan berada di dunia yang baik, Dom”, tulisnya di Facebook.
Duangpetch dikenali sebagai Dom, adalah kapten pasukan bola sepak Akademi Wild Boar yang terperangkap ketika meneroka di gua Tham Luang bersama 11 lagi rakan sepasukan pada 2018 dan seorang jurulatih mereka.
Ketika itu 12 orang budak lelaki itu – berumur 11 hingga 16 tahun, termasuk Dom – dan jurulatih mereka berusia 25 tahun telah berbasikal ke gua di daerah Mae Sai pada 23 Jun 2018, dan meneroka gua sepanjang 7 kilometer itu tanpa mengetahui hujan monsun lebat akan melanda.
Ketika mereka mahu keluar dari gua itu, air banjir telah mencurah masuk dan menghalang mereka keluar, yang mana kehilangan mereka mencetuskan operasi mencari dan menyelamat yang menjadi salah satu misi multinasional paling kompleks disaksikan seluruh dunia pada ketika itu. – HARAKAHDAILY 15/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!