Kerajaan perlu utamakan pendidikan TVET

Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memberikan penekanan khusus dalam aspek penghasilan sumber manusia yang berkualiti tinggi, kata Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah tersebut dapat memudahkan rakyat untuk merebut peluang ekonomi yang lebih besar.

“Kita telah mencapai suatu kedudukan pendapatan negara kasar (GNI) di Malaysia dengan anggaran AS$11,200 iaitu kurang AS$1,335 untuk membolehkan kita beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Antara usaha yang perlu dipertingkatkan adalah dengan meningkatkan lebih banyak penghasilan pekerja mahir dan separa mahir dengan memberi penekanan kepada sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Melalui pendekatan itu, kita dapat membentuk generasi baharu, sumber manusia yang lebih berkemahiran daripada apa yang kita miliki ketika ini,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga menggesa agar kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Beliau berkata, peluang pekerjaan berprestasi tinggi perlu diisi oleh rakyat tempatan, terutama golongan belia.

“Dalam titah Seri Paduka Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Baginda menyebut bahawa negara mencatatkan nilai eksport berjumlah RM1.5 trilion sehingga Disember 2022 iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 2021.

“Ini semua hasil perancangan strategik ketika PERIKATAN NASIONAL (PN) mentadbir negara.

“Sektor pelancongan negara juga perlu diberi perhatian dengan perolehan pendapatan sebanyak RM26.8 bilion melalui kedatangan pelancong seramai 9.2 juta pada tahun lalu,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menumpukan penggabungan elemen digital dan teknologi dalam sektor itu untuk dinikmati rakyat di semua peringkat. – HARAKAHDAILY 15/2/23

- Advertisement -