PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah meluluskan bantuan MAIWP-Insani berjumlah RM15.9 juta untuk diagihkan ke sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, pemberian dana yang telahpun dibuat pada Dis 2022 itu adalah bertujuan untuk melaksanakan program dan aktiviti pelajar serta penambahbaikan infrastruktur sekolah yang berada di seluruh Wilayah Persekutuan.
“Daripada dana tersebut, sebanyak RM12.42 juta diagihkan kepada 414 buah sekolah yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Mock-up Cheque Sumbangan MAIWP-Insani kepada Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada petang tadi.
Sementara itu, ujarnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menerima dana daripada MAIWP sebanyak RM1.74 juta yang melibatkan 58 buah sekolah.
“Wilayah Persekutuan Labuan pula telah menerima bantuan daripada MAIWP sebanyak RM1.74 juta yang melibatkan sebanyak 58 buah sekolah,” katanya.
Tambah Mohd Nizam, sepanjang tahun 2022, MAIWP turut mengagihkan sebanyak RM855,519,208.03 dana zakat yang diperolehi di mana sebanyak RM533.6 juta diagihkan kepada golongan asnaf menerusi skim bantuan secara langsung.
“Dana sebanyak RM30.8 juta pula diagihkan untuk membiayai institusi pendidikan dan kebajikan demi menjaga kemaslahatan ummah,” ujarnya.
Dalam pada itu, pada majlis yang sama, MAIWP turut meraikan seramai 320 orang pelajar sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang tamat bacaan 30 juzuk al-Quran secara gilang-gemilang dalam Program Khatam Al-Quran Perdana Putrajaya 2023.
Menurut Mohd Nizam, program itu merupakan salah satu usaha MAIWP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) dalam menyediakan anak-anak yang celik Al-Quran dan menjadikannya sebagai pedoman hidup.
Beliau berkata, MAIWP sentiasa melihat kepada kepentingan pendidikan yang perlu diterapkan kepada anak-anak generasi pemimpin pada masa hadapan.
“Hanya dengan ilmu, anak-anak kita dapat mengenal Allah SWT. Hanya dengan ilmu, anak-anak dapat membezakan mana yang baik dan mana buruk.
“Ini termasuklah ilmu-ilmu al-Quran, yang mana pada hari ini anak-anak kita telah berjaya mengkhatamkan al-Quran.
“Ini adalah misi kita semua untuk membangunkan generasi Qurani yang akan menghidupkan nilai-nilai al-Quran dalam jiwa mereka,” katanya.
Kedua-dua program anjuran MAIWP pada petang tadi telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhammad Razak Idris.
Antara yang turut hadir ke majlis khatam Al-Quran Perdana 2023 terdiri daripada Pengarah Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dato’ Ajib Ismail; Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Putrajaya, Datuk Abdul Latiff Mirasa; Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWP), Farizah Ahmad; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin.
Dalam ucapannya, Muhammad Razak memberitahu bahawa baru-baru ini beliau telah mengumumkan Pelan Transformasi Agensi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau ringkasnya Al-FALAH.
Pelan Transformasi AL-FALAH adalah bagi tempoh lima tahun iaitu bermula dari tahun 2023 sehingga tahun 2027 yang mengandungi lima teras, 10 fokus gerak kerja dan 5 nilai.
“Teras pertama adalah melibatkan pentadbiran Islam mampan. Teras kedua pula melibatkan kesejahteraan insan, manakala teras ketiga pula adalah mengenai kemuliaan syariah.
“Seterusnya teras keempat melibatkan kepimpinan berdaya cipta. Akhir sekali, teras kelima adalah kehormatan institusi Islam,” jelas beliau.
Pelan Transformasi AL-FALAH ini adalah sejajar dengan usaha pihak kerajaan untuk menggerakkan agenda membangun Malaysia Madani dalam menjadikan sekolah sebagai lokasi asas untuk kita menerapkan nilai-nilai mahmudah.
Justeru, beliau turut menitipkan nasihat kepada para ibu bapa agar sentiasa berganding bahu bersama pihak sekolah dan para guru untuk membangunkan sahsiah kepada anak-anak pada masa hadapan.
“Pihak pengurusan dan pentadbir sekolah juga perlu sentiasa memberikan tumpuan kepada program pembinaaan modal insan kepada pelajar.
“Semoga minda dan jiwa para pelajar diperkaya dengan perkara-perkara yang baik dan lebih banyak lagi pada hari-hari yang akan datang dengan berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2023