Ustaz Kamal kongsi peringatan Allah SWT dengan mangsa banjir

Ustaz Kamal (kanan) sedang menyampaikan tazkirah buat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kuala Krau, Pahang pada 22 Jan 2022. (FOTO: Facebook Pusat Khidmat Parlimen Kuala Krau)
- Advertisement -

KUALA KRAU: Manusia yang ditimpa bencana dalam kehidupan di atas dunia ini tidak terkecuali daripada perlu melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih diberi peluang untuk bernafas.

Itu peringatan yang dikongsi pendakwah bebas yang kini diamanahkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Krau, Yang Berhormat Ustaz Kamal Ashaari dengan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kuala Krau, Pahang.

Tetap tidak melupakan tugas hakikinya dalam memberi peringatan kepada ummah tentang kepentingan mengingati Allah SWT dalam semua keadaan, beliau tegar dan gigih mengisi kekosongan masa mangsa banjir yang tinggal sementara di PPS berkenaan dengan menyampaikan tazkirah, usai solat subuh berjemaah pada 22 Jan lalu.

- Advertisement -

“Pertamanya, kita kena bersyukur kepada Allah SWT dengan cara menunaikan solat subuh. Allah SWT mensyariatkan solat subuh ini antaranya untuk menjadi permulaan dalam kehidupan kita. 

“Supaya rezeki yang kita cari, Allah SWT redha; begitu juga umur yang Allah bagi, dapat keredaan daripada Allah SWT. Kesihatan yang Allah SWT bagi juga diredhai-Nya,” katanya dalam takzirah berkenaan.

Beliau turut mengingatkan mangsa banjir bahawa dalam kehidupan di dunia ini ada orang lain yang akan membantu tetapi jika menghadapi kesusahan di dalam kubur, kelak tiada siapa yang akan tampil lagi untuk menghulurkan bantuan. 

“Atas dunia bila kita lapar, insya-Allah ada orang bagi makan kita, kita dahaga ada orang bagi air. 

“Ujian yang Allah bagi kepada kita ini kerana Allah tahu kita mampu menghadapinya. Ujian tidak sama-sama, berbeza adalah untuk mengingatkan kita kepada Allah SWT. 

Ahli Parlimen Kuala Krau ini tetap tidak melupakan tugas hakiki beliau dalam memberi peringatan kepada ummah tentang kepentingan mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan.

“Sebab itu, kita kena berdoa supaya Allah SWT bagi kekuatan kepada kita untuk terus beribadah kepada Allah SWT. Nabi ajar dalam usia kita semakin bertambah, Allah SWT beri kesempatan kepada kita untuk mengejar pahala,” ujarnya. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap PAS itu mengingatkan mangsa-mangsa banjir bahawa Allah telah menjelaskan dalam kitab suci, al-Quran tentang tuntutan solat berjemaah. 

Sebagaimana firman Allah berfirman yang bermaksud: “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta ruku`lah bersama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah 2 : 43)

Secara amnya, kata beliau, tuntutan untuk solat secara berjemaah itu penting di sisi agama Islam. 

Menurut Ustaz Kamal, kepentingan solat berjemaah itu adalah sebagaimana Allah berfirman lagi yang maksudnya: “Dan jika engkau (hadir) bersama mereka, maka dirikanlah bersama mereka solat.” (Al-Nisa’ 4 : 102)

“Solat berjemaah bukan satu amalan yang sepatutnya dipandang remeh oleh masyarakat Islam.

“Ini kerana solat berjemaah ini banyak pahalanya ia bersamaan 27 kali pahala berbanding solat bersendirian satu kali pahala,” kongsi beliau lagi. 

Ustaz Kamal mengimamkan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Kuala Krau ketika menunaikan solat Subub pada 22 Jan 2023.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata bahawa sesungguhnya besar pahala yang Allah berikan kepada umat Islam yang menunaikan solatnya secara berjemaah. 

“Islam bukan menghalang umatnya solat sendirian, tapi Islam ingin menyeru agar umat Islam cakna dengan manfaat daripada Allah,” ujarnya.

Walaupun mangsa banjir yang tinggal di PPS itu kurang daripada 20 orang, namun beliau tetap bersemangat menyampaikan tazkirah dan solat subuh berjemaah bersama-sama mereka. 

“Analoginya mudah, jika seorang pekerja ditawarkan dengan gaji RM27 atau RM2,700 mana yang akan dipilih oleh pekerja itu? 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap PAS ini berbesar hati meluangkan masa dengan mangsa banjir di PPS Kuala Krau.

“Sudah tentu RM2,700. Begitulah Allah memberi pahala kepada umat Islam yang solat berjemaah,” katanya yang sebelum itu telah mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 17, Maran, Pahang.

Beliau selanjutnya mengajak umat Islam khususnya rakyat di parlimen Kuala Krau supaya meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta menunaikan segala amalan ibadah antaranya solat. 

“Solatlah secara berjemaah bersama di masjid atau surau. Kita hidup ini tujuannya adalah untuk mengabdikan diri kita kepada Allah SWT,” pesan beliau mengakhiri tazkirah yang cukup mendalam dan bermakna itu. – HARAKAHDAILY 26/1/2023

- Advertisement -