PADANG BESAR: Kerjasama erat kerajaan negeri terhadap Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) akan mempercepatkan proses pembangunan projek itu.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan projek CVIA yang diluluskan sejak 2016.
“Kerajaan negeri akan beri kerjasama sepenuhnya dan Insya-Allah kami dalam proses untuk mempertingkatkan apa saja yang kita rasa boleh membantu mempercepatkan pembangunan projek ini.
“Asasnya seperti tanah, bekalan air dan elektrik yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri supaya ia berjalan lancar, selebihnya kita akan lihat dari segi keperluan semasa,” katanya selepas ditemui media di sini, hari ini.
Beliau bersama rombongan delegasi kerajaan negeri membuat lawatan tapak ke Ladang Superfruit Valley, Gua Kelam, CVIA dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP).
Dalam pada itu, sehingga kini sebanyak tiga pelabur tempatan melabur dalam projek CVIA membabitkan nilai RM2.5 bilion.
Ketua Eksekutif Northern Corridor Implimentation Authority (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan, berkata dengan jumlah tersebut ia bakal mewujudkan sebanyak 1,870 peluang pekerjaan.
“Kerjasama kerajaan negeri sangat membantu kita kerana tanah yang dibangunkan dari kerajaan negeri, manakala Kerajaan Pusat memberi bantuan dari sudut infrastruktur,” katanya.
Projek itu merangkumi pembangunan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC), sistem rangkaian jalan raya, perparitan, bekalan air, pembentungan, bekalan elektrik dan telekomunikasi. – HARAKAHDAILY 26/1/23