‘Malaysia Madani’ tidak wajar pinggir negeri diterajui PN

- Advertisement -

TUMPAT: Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diketengahkan kerajaan PH-BN tidak wajar dicacatkan dengan usaha mendiskriminasi negeri-negeri yang diterajui PERIKATAN NASIONAL (PN).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, konsep tersebut akan menjadi tempang apabila semangat Federalisme dilanggar kerana berbeza idelogi politik.

- Advertisement -

“Kita mengalu-alukan konsep Malaysia Madani yang diketengahkan kerajaan sekarang dan berharap Kelantan tidak dianaktirikan supaya mendapat hak yang sama seperti negeri-negeri lain.

“Kita kena hayati dengan sebaik mungkin Malaysia Madani dan ikut betul-betul konsep itu selaras dengan Perlembagaan negara,” katanya di sini.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melancarkan slogan Malaysia Madani sebagai usaha membina martabat semula negara supaya lebih makmur.

Menurutnya, istilah Madani merujuk tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, banyak projek yang diluluskan kerajaan lama di Kelantan perlu diteruskan selaras dengan konsep Madani,

Antaranya, kata beliau ialah Kompleks Sukan di Bukit Merbau yang sepatutnya dilaksanakan awal tahun ini selepas diluluskan Kerajaan Pusat. – HARAKAHDAILY 24/1/23

- Advertisement -