Tujuh lagi maut ditembak di California

Anggota polis menahan suspek yang dipercayai menembak tujuh orang di Half Moon Bay.
- Advertisement -

SAN FRANCISCO: Tujuh orang terbunuh dalam satu lagi kejadian tembakan besar-besaran di dua lokasi bandar Half Moon Bay di utara California semalam dan suspek ditahan selepas memandu ke tempat letak kereta balai polis, dipercayai untuk menyerahkan diri.

Kejadian di Half Moon Bay, kira-kira 50 kilometer selatan San Francisco, berlaku selepas kejadian tembakan besar-besaran di bandar Monterey Park di selatan California yang mengorbankan 11 orang, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Gabenor California, Gavin Newsom, berkata beliau sedang melawat mangsa kejadian Monterey Park di hospital apabila dimaklumkan mengenai kejadian tembakan di Half Moon Bay.

“Tragedi demi tragedi,” kata Newsom di Twitter.

Syerif Daerah San Mateo, Christina Corpus, mengenal pasti suspek sebagai Chunli Zhao, 67, yang bekerja di lokasi tembakan, iaitu tapak semaian. Media tempatan pula menyatakan satu daripada dua lokasi kejadian ialah ladang cendawan.

“Ada pekerja ladang yang terjejas malam ini. Terdapat kanak-kanak di tempat kejadian ketika tembakan berlaku. Ini adalah tragedi yang benar-benar menyayat hati dalam komuniti kami,” kata Penyelia Daerah San Mateo, Ray Mueller

Satu daripada dua lokasi kejadian tembakan yang meragut tujuh nyawa di Half Moon Bay

Katanya, tekanan yang dihadapi komuniti ini selama berminggu-minggu adalah sangat tinggi.

Corpus berkata, suspek bekerjasama dengan penyiasat, tetapi motif kejadian masih belum dapat dipastikan, manakala pistol separa automatik ditemui dalam keretanya.

Corpus berkata, pihaknya yang mendapat maklumat kejadian itu menemui empat orang mati dan seorang parah di lokasi pertama Half Moon Bay, kemudian menemui tiga lagi mati di tempat lain berhampiran.

Video saluran televisyen ABC 7 menunjukkan penahanan suspek apabila dua anggota polis berpakaian biasa dan seorang pakaian seragam bersenjata pistol, mengarahkan lelaki itu keluar dari keretanya. Suspek keluar dan diarahkan meniarap sebelum anggota polis mencari senjata api.

Sebanyak 38 kejadian tembakan besar-besaran berlaku di Amerika Syarikat dalam tempoh 21 hari pertama tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata Api, yang mentakrifkan penembakan besar-besaran sebagai empat atau lebih orang ditembak atau terbunuh, tidak termasuk penembak. – REUTERS

- Advertisement -