Jangan harap Turkiye sokong Sweden sertai NATO – Erdogan

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan
- Advertisement -

ANKARA: Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, menegaskan bahawa Sweden tidak boleh menjangkakan mendapat sokongan negaranya untuk menyertai NATO selepas protes berhampiran kedutaan Turkiye, hujung minggu lalu, termasuk membakar naskhah al-Quran.

Protes menentang Turkiye dan membantah usaha Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Stockholm, meningkatkan ketegangan dengan Turkiye yang Sweden perlukan sokongan untuk mendapatkan keanggotaan dalam pakatan tentera itu.

- Advertisement -

“Mereka yang membenarkan penghinaan sedemikian di hadapan kedutaan kami tidak boleh lagi mengharapkan sokongan Turkiye untuk keanggotaan NATO,” kata Erdogan dalam ucapan selepas mesyuarat Kabinet.

“Jika anda sangat menyayangi ahli pertubuhan pengganas dan musuh Islam serta melindungi mereka, maka kami menasihat anda supaya mendapatkan sokongan mereka untuk keselamatan negara anda,” katanya.

Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom, yang enggan mengulas mengenai kenyataan Erdogan, memberitahu Reuters dalam satu kenyataan bertulis bahawa beliau mahu memahami dengan tepat apa yang telah diperkatakan.

“Namun, Sweden akan menghormati perjanjian sedia ada antara Sweden, Finland dan Turkiye berhubung keanggotaan NATO kami,” katanya.

Tahun lalu, Sweden dan Finland memohon menyertai NATO berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, tetapi semua 30 negara anggota mesti meluluskan permohonan mereka.

Ankara sebelum ini mahu Sweden terlebih dahulu mengambil pendirian yang lebih jelas terhadap apa yang dilihat sebagai pengganas, terutama militan Kurdish dan kumpulan yang dipersalahkannya kerana cubaan rampasan kuasa di Turkiye pada 2016.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price, berkata Finland dan Sweden bersedia untuk menyertai pakatan itu, tetapi enggan mengulas sama ada Washington berpendapat komen Erdogan bermakna penutupan muktamad kepada kedua-dua negara.

“Akhirnya, ini adalah keputusan dan muafakat yang Finland dan Sweden perlu capai dengan Turkiye,” kata Price.

Price memberitahu wartawan bahawa membakar al-Quran adalah tindakan yang sangat tidak menghormati umat Islam, sambil menambah bahawa Amerika Syarikat menyedari bahawa mereka yang mungkin berada di belakang apa yang berlaku di Sweden mungkin sengaja cuba melemahkan perpaduan di seluruh Atlantik dan dalam kalangan sekutu Eropah Washington..

Pembakaran al-Quran dilakukan oleh Rasmus Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark, Hard Line. Paludan sebelum ini beberapa kali melakukan demonstrasi dengan membakar kitab suci umat Islam.

Kejadian itu mengundang kecaman banyak negara Islam di seluruh dunia. Turkiye memanggil duta Sweden ke negara itu untuk menyatakan bantahan keras serta membatalkan lawatan yang dirancang oleh Menteri Pertahanan Sweden ke Ankara. – REUTERS

- Advertisement -