Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah terkhilaf

- Advertisement -

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 16 Januari 2023 berhubung notis kekosongan kerusi empat Ahli Dewan Rakyat di Negeri Sabah yang telah gugur keahlian mereka dalam BERSATU. 

- Advertisement -

Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan kerana mereka bukan ahli BERSATU ketika bertanding dalam PRU15.

Alasan yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah menjadi ahli langsung Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 27 Oktober 2022. Dengan mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam BERSATU telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 November 2022.

Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan BERSATU dan dengan itu keputusannya juga adalah terkhilaf. Yang Dipertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan BERSATU.

Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain. Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli BERSATU dan BERSATU adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu. 

Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

Selain itu, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah calon GRS dari parti BERSATU. Ini bermakna, penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam BERSATU ketika mereka bertanding dalam PRU15 yang lalu. Surat tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantu beliau membuat keputusan.

Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, Fasal 27 Perlembagaan BERSATU memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU. Maka, dalam hal ini hanya MPT BERSATU boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusannya berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU. 

Oleh kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan BERSATU, keputusannya bahawa empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah terkhilaf

Fakta juga jelas menunjukkan bahawa mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022. Tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022 yang mana kedua-dua perbuatan ini mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam BERSATU di bawah Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU selepas PRU-15.

Adalah jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka BERSATU akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada parti Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan.

TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi BERSATU Malaysia.
17 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -