Arsenal bakal ulangi kecemerlangan Wenger

- Advertisement -

PADA hari Ahad lepas Arsenal telah mengalahkan Tottenham 2-0 di tempat lawan di dalam perlawanan yang dipanggil ‘North London Derby’. Dengan kemenangan tersebut kelab pimpinan Mikel Arteta berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) mendahului juara musim lalu, Manchester City, dengan lapan mata. Newcastle dan Manchester United berada satu mata di belakang City.

- Advertisement -

Walaupun terdapat baki 20 perlawanan tetapi dengan 47 mata, Arsenal kelihatan susah digugat kecuali berlaku satu malapetaka. Kali terakhir Arsenal memenangi EPL adalah pada musim 2003/04 ketika di bawah pengurus legenda Arsene Wenger.

Kedudukan Arsenal hari ini memberi harapan kepada penyokong-penyokong yang mahu melihat kecemerlangan di bawah Wenger berulang kembali. Kelab Utara London itu memenangi EPL sebanyak 3 kali tetapi kejuaraan musim 2003/04 merupakan kejuaraan paling sejarah. Mereka tidak dapat ditewaskan walaupun sekali dan telah digelar ‘The Invincibles‘ atau ‘yang tidak dapat dikalahkan’. Mereka menang 26 kali dan seri 12 kali pada musim tersebut.

Tidak ada kelab lain yang dapat mengulangi kejayaan itu. Pemain-pemain seperti Thierry Henry,  Patrick Vieira, Dennis Bergkamp, Freddie Ljungberg, Kolo Toure, Ashley Cole, Sol Campbell dan Jens Lehmann membantu ‘The Gunners’ mencipta sejarah.

Persoalannya adalah sama ada pemain-pemain Arsenal akan dapat menyerap tekanan yang dihadapi sebagai pendahulu liga. Mereka tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti itu dan kegagalan mereka untuk layak ke Liga Juara-juara UEFA (UCL) musim lepas sudah tentu membimbangkan penyokong. Ketika itu mereka kelihatan hampir pasti layak ke UCL tetapi akibat beberapa keputusan yang buruk, Tottenham telah berjaya memintas mereka dan layak. 

Arsenal telah menang 4 kali berturut-turut dan dilihat akan layak ke UCL setelah 4 musim kegagalan. Tetapi kekalahan kepada Newcastle dan Tottenham bermakna mereka memerlukan satu keajaiban pada hari terakhir musim. Mereka perlu menang menentang Everton dan mengharapkan Norwich yang sudah tersingkir ke Championship mengalahkan Tottenham. Walaupun mereka berjaya mengalahkan Everton 5-1 tetapi Tottenham membelasah Norwich 5-0.

Kekecewaan musim lepas sudah tentu telah mematangkan Arsenal dan melengkapkan mereka untuk cabaran ke arah kejuaraan. Mereka memerlukannya kerana mereka akan bertemu Manchester City 2 kali dalam baki 20 perlawanan musim ini. City sudah tentu tidak akan begitu mudah menyerahkan kejuaraan mereka. Walau bagaimanapun cabaran terdekat mereka adalah pada hari Ahad ini (22 Januari) di mana mereka akan bertemu Manchester United di Emirates.

Cabaran United yang sedang bangkit tidak boleh dipandang ringan. ‘Red Devils‘ yang berada di tempat ketiga tidak pernah kalah sejak tewas 1-3 kepada Aston Villa 6 November tahun lepas. Newcastle di tempat ketiga bukan pencabar tradisi dan tidak dijangka memiliki stamina untuk menimbulkan masalah kepada Arsenal. Tetapi jika Arsenal tewas kepada City dan United, mereka akan hilang kelebihan 8 mata mereka.

Sejarah menunjukkan bukan semua kelab yang berada di puncak pada bulan Disember akan ditabalkan juara. Sejak EPL ditubuhkan, 16 pendahulu bulan Disember telah muncul juara dan 14 telah gagal. Kali terakhir Arsenal menjadi juara, mereka berada di tempat kedua di belakang Manchester United pada bulan Disember 2003.

Satu masalah yang dihadapi oleh Arsenal yang memberi kesan kepada kempen mereka adalah kehilangan penyerang Brazil, Gabriel Jesus. Menurut Arteta, Jesus mengalami kecederaan lutut di Piala Dunia Qatar 2022 dijangka terpaksa direhatkan lebih lama dari yang dijangkakan. Tetapi beliau mengharapkan Jesus dapat diturunkan pada bulan-bulan terakhir musim ini. Masalahnya jika cabaran Arsenal telah berakhir ketika itu akibat keputusan-keputusan yang buruk sebelum itu, kehadiran Jesus adalah tidak bermakna. 

Dua sasaran Arsenal pada jendela perpindahan musim sejuk (winter transfer window) telah gagal diperolehi. Mereka adalah Mykhailo Mudryk dan Joao Felix. Pemain Ukraine Mudryk dari Shakhtar Donetsk itu telah disambar oleh Chelsea di saat-saat akhir ketika Arsenal mula mendekati beliau. Pemain Portugis, Felix juga menyertai Chelsea tetapi hanya dipinjamkan dari Athletico Madrid.

Justeru Arsenal memerlukan pemain-pemain baharu untuk memperkuatkan barisan serangan mereka. Terdapat spekulasi pemain Belgium Brighton, Leandro Trossard, adalah sasaran terkini Arsenal. Jendela perpindahan akan ditutup pada 31 Januari dan terdapat banyak masa bagi mereka untuk mencari pemain-pemain baharu jika mereka serius mahu menamatkan kemarau kejuaraan selama 20 tahun.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
17 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -