Kehebatan Haaland mula dipertikai

Pemain berasal dari Norway, Erling Haaland, menjaringkan 21 gol setakat ini.

Penyerang Manchester City, Erling Haaland, mungkin menjadi penjaring gol paling prolifik pernah dilihat dalam Liga Perdana, tetapi selepas persembahan pasif ketika tumpas 2-1 kepada Manchester United menyebabkan peranannya dalam pasukan dinilai semula.

Advertisement

Haaland hanya memberikan sedikit impak dalam permainan City ketika perlawanan musuh setempat itu. Dia melakukan 19 sentuhan dan dua percubaan ke arah gol yang tidak mengenai sasaran.

Prestasinya di Old Trafford jauh berbeza berbanding ketika menjaringkan tiga gol dan menyumbang dua bantuan ketika menewaskan United 6-3 pada Oktober tahun lalu.

Jurulatih City, Pep Guardiola, mengakui bimbang mengenai aksi Haaland selepas kekalahan yang menyebabkan City ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Arsenal apabila melepaskan lapan mata dalam lima perlawanan terakhir.

“Dia mempunyai sentuhan yang mencukupi, tetapi memang benar apabila anda melihat aspek itu dan anda perlu melihatnya. Kita perlu mencari lebih sedikit lagi ruang untuknya,” kata Guardiola.

Penyerang Norway itu menjaringkan 21 gol, hanya kurang dua lagi untuk menyamai 23 gol, iaitu jumlah jaringan terbanyak musim lalu yang dimenangi bersama Son Heung-min dan Mohamed Salah.

Ketibaan Haaland memberi kesan kepada seluruh pasukan kerana menyebabkan jurang perbezaan dengan penjaring lain menjadi semakin besar. Penjaring kedua terbanyak City ialah Phil Foden, iaitu tujuh gol, diikuti Julian Alvarez dan Kevin De Bruyne, masing-masing tiga gol.

Musim lalu ketika City bergelar juara, De Bruyne adalah penjaring terbanyak pasukan dengan 15 gol, manakala Raheem Sterling 13 gol dan Riyad Mahrez, 11 gol.

Selepas kekalahan memeritkan kepada Manchester United, bekas pemain tengah Dietmar Hamann dari Jerman mendakwa City adalah pasukan yang lebih baik tanpa kehadiran Haaland, walaupun dia menjaringkan 40 gol musim ini.

Namun, Guardiola menegaskan pasukannya masih bermain mengikut kehendaknya. “Saya akan katakan tidak konsisten itu adalah dari segi keputusan, tetapi bukan persembahan,” katanya. – REUTERS

Whats-App-Image-2023-06-06-at-5-54-25-PM