Bahas Bajet 2023: Kematangan Adun PN Perlis terserlah

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sebulat suara meluluskan Bajet 2023 selepas dibahaskan selama empat hari bermula 19 Disember lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli semasa sesi penggulungan berkata, sungguhpun PERIKATAN NASIONAL (PN) baharu sahaja sebulan mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri, namun kematangan dan keterlibatan ADUN dalam sesi perbahasan menunjukkan mereka bersiap sedia dengan baik.

“Tahniah kepada ADUN-ADUN yang berucap sepanjang persidangan, setiap tajuk dilihat tidak berlaku pertindihan termasuk dari ADUN Indera Kayangan, Gan Ai Ling saya rasa beliau akan menyertai PN selepas ini.

“Kalau tidak menyertai pun, beliau tidak perlu susah hati, kita akan bekerjasama dengan baik  walaupun berseorangan sebagai pembangkang di dewan ini,” katanya pada hari terakhir sidang DUN Perlis, di sini, semalam. (Foto atas)

Beliau juga menekankan kepada rakyat secara keseluruhannya agar menjaga kebersihan negeri bagi menarik perhatian pelancong untuk  datang ke negeri tersebut.

“Hasrat saya ingin melihat Perlis berubah menjadi negeri yang bersih, kita menerima kehadiran pelancong yang ramai justeru rakyat Perlis perlu sambut dengan elok berserta akhlak yang baik dan sampah kena buang di tempat sepatutnya.

“Jangan buang sampah dimerata tempat, wakil rakyat perlu ajak rakyat kita buang sampah di tempat sepatutnya, kalau negeri tidak bersih nanti pelancong datang sekali selepas dia tidak mahu datang lagi,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 Perlis telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM293.36 juta bertemakan Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’.

Bajet 2023 memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu Peningkatan Ekonomi Melalui Pelaburan, Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat dan Pembangunan Negeri Yang Mapan. – HARAKAHDAILY 23/12/2022                                                                                                                                                                                          

- Advertisement -