MADA, LPP usaha atasi masalah padi angin

- Advertisement -

KANGAR: Pesawah di negeri Perlis berdepan isu padi angin hampir setiap musim yang menyebabkan hasil tanaman padi terjejas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, di peringkat awal penanaman sehingga padi masak, pesawah lazimnya tidak dapat membezakan di antara pokok padi dan padi angin.

Justeru itu, katanya, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi mengatasi permasalahan tersebut.

“Antaranya pesawah disaran menggunakan benih padi sah yang dikeluarkan oleh pengeluar benih yang dilantik.

“Di samping itu, MADA turut menyediakan Senarai Semakan Tanaman Padi sebagai panduan kepada pesawah bagi mengawal serangan padi angin dengan memberi penekanan bermula daripada peringkat pemilihan benih yang sah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis) mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri khususnya MADA dalam mengatasi isu padi angin.

Malah katanya, pesawah juga digalakkan menggunakan kaedah tabur terus dalam air atau melalui kaedah menanam sama ada secara mencedung (manual) ataupun menggunakan jentanam (mekanikal).

Dalam masa yang sama, ujarnya, pihak Jabatan Pertanian negeri juga mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu tersebut antaranya dengan menjalankan Bancian Pengesanan dan Ramalan (P&R) dan lawatan diagnostik sekiranya menerima aduan berkaitan isu tersebut.

“Pesawah digalakkan supaya mematuhi jadual aktiviti tanaman berdasarkan manual rice check serta mematuhi setiap check utama untuk pertumbuhan yang baik ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti.

“Mereka juga diberi kursus secara tidak formal berkaitan kaedah rendaman dan rawatan benih padi di samping menggunakan benih padi sah dan berkualiti,” katanya.

Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga berperanan mengatasi masalah padi angin menerusi kerjasama dengan pemain industri padi.

“Antaranya mengadakan Program Hari Ladang bersama Agriculture Chemical (M) Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Peladang Kawasan Beseri pada 1 Disember lalu.

“Program tersebut diadakan di Kampung Belukar, Beseri melibatkan Ahli Jemaah Pengarah, Ketua Unit dan Ahli Jawatankuasa unit,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2022

- Advertisement -