Projek rintis ubat PrEP cegah HIV: KKM jangan beri isyarat songsang

- Advertisement -

RANCANGAN projek rintis penggunaan ubatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV sememangnya akan memberi hala tuju dasar negara yang membimbangkan. 

- Advertisement -

Walau apapun alasan yang dikemukakan oleh pihak KKM, kebarangkalian ia digunakan untuk tujuan yang salah tetap akan berlaku. Penggunaan ubat PrEP khususnya oleh golongan homoseksual aktif (MSM dalam konteks ini) lebih bersifat menggalakkan budaya songsang dalam masyarakat, sebaliknya tidak mencegah.

KKM sewajarnya terlebih dahulu mengemukakan suatu rancangan dasar yang jelas bagi mencegah aktiviti songsang yang semakin membarah dalam masyarakat. 

Apa yang menjadi pertikaian di sini adalah penggunaan ubat PrEP secara permintaan (on demand) dan mendedahkan kepada pelaku LGBT untuk menggunakannya bagi melakukan aktiviti songsang dengan ‘selamat’. Ia adalah sisi normalisasi LGBT dalam negara.

Tambahan lagi, KKM juga perlu menelusuri semula strategi yang digariskan oleh Malaysia National Strategic Plan for Ending AIDS 2016-2030 yang sepatutnya memasuki fasa penilaian separuh penggal pada tahun hadapan. 

Ini kerana dalam strategi dasar tersebut tidak memperincikan perancangan khusus mencegah serta menggalakkan kehidupan normal bagi masyarakat umum selain menghindari budaya seks songsang.

Bahkan ia lebih menumpukan kepada aspek pencegahan jangkitan kepada pasangan homoseksual yang melakukan hubungan seksual tanpa ‘perlindungan’ yang hanya menjurus kepada tindakan menghalalkan hubungan seksual songsang (termasuk zina), tetapi dalam masa yang sama menutup pintu jangkitan HIV/AIDS.

Oleh sebab itu, saya ingin tegaskan bahawa hala tuju dasar daripada KKM mesti jelas dan bersepadu. Isu ini mempunyai pelbagai perbahasan mendasar yang lain seperti jangkitan HIV ibu kepada anak dan sebagainya. 

Jika tiada fokus yang jelas, tindakan KKM boleh membawa kepada implikasi berbeza. Lebih membimbangkan, budaya gay (MSM) lebih mendominasi dalam kalangan jangkitan HIV ketika ini. 

Budaya rosak LGBT adalah kesalahan besar di sisi agama juga bertentangan dalam perundangan dalam negara. Apakah sampai satu masa kelak LGBT juga akan dibenarkan dalam negara? 

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
18 Jamadilawwal 1444 Hijri | 13 Disember 2022 Miladi – HARAKAHDAILY 13/12/2022

- Advertisement -