Perancis tahu Maghribi bukan sekadar pakar bertahan

Raphael Varane akui kekuatan Maghribi
- Advertisement -

Perancis sedar sepenuhnya bahawa Maghribi adalah lebih daripada sebuah pasukan yang mantap bertahan ketika membuat persiapan untuk pertembungan separuh akhir Piala Dunia, esok.

- Advertisement -

Maghribi mara ke peringkat empat terakhir dengan menewaskan Sepanyol dan Portugal di peringkat kalah mati dan hanya melepaskan satu gol dalam kejohanan itu.

Peralihan pantas dan penguasaan bola yang mengagumkan Maghribi di Qatar menyebabkan juara bertahan tidak akan mengambil mudah di Stadium Al Bayt.

“Kami mempunyai cukup pengalaman untuk tidak terjerumus ke dalam perangkap ini (terlalu yakin). Maghribi telah mencapai tahap sekarang kerana kebolehan mereka,” kata pertahanan tengah yang juga naib kapten Perancis, Raphael Varane, pada sidang akhbar di Doha, semalam.

“Mereka bertahan dengan sangat baik, ini akan menjadi sangat sukar. Kami, ketua pasukan, perlu menyediakan semua pemain untuk satu lagi pertempuran. Ia adalah separuh akhir Piala Dunia, anda perlu memberikan segala-galanya sehingga tamat jika mahu berhak mendapat tempat di final.”

Varane sedar bahawa pasukan Walid Regragui kini lebih berkeyakinan.

“Mereka melakar sejarah baharu bola sepak Maghribi, mereka mempunyai kekuatan berpasukan dengan persembahan yang memberikan mereka banyak keyakinan,” katanya.

“Mereka secara fizikal sangat cergas dan berbahaya ketika serangan balas.”

Bek kanan, Jules Kounde, yang akan ditugaskan untuk mengekang Sofiane Boufal di sayap, tidak perlu diingatkan lagi tentang kualiti Maghribi.

“Saya tidak bimbang, tetapi kami tahu mereka menewaskan pasukan besar untuk sampai ke tahap ini dan kami akan menghadapi dengan serius. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat mereka di sini. Mereka layak berada di sini,” katanya.

“Mereka sangat padat dan memberikan sedikit masa kepada pemain yang mempunyai bola untuk merancang. Anda perlu bermain pantas dan cuba memecahkan keseimbangan mereka,” kata Kounde.

“Kami menyedari kualiti mereka. Mereka sangat cekap dengan bola, mereka bergabung dengan sangat cepat untuk mencari dua pemain sayap mereka.

Pemenang akan menentang sama ada Argentina atau Croatia dalam perlawanan akhir di Stadium Lusail. – REUTERS

- Advertisement -