Kami kenal Tuan Guru Presiden kami

- Advertisement -

SEMALAM Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk dirakam keterangannya berikutan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya. Menurut peguamnya siasatan polis dijalankan Tuan Guru mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan (kenyataan yang mendatangkan khianat awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan dan rangkaian perkhidmatan).

- Advertisement -

Selama lebih 40 tahun Tuan Guru menjadi ADUN, Ahli Parlimen, Menteri Besar, Ketua Pembangkang, beliau bersungguh bertarung di atas pentas politik demi memenangkan matlamat dan dasar perjuangan PAS. Di atas pentas politiklah kita memberi penerangan, menjernihkan kekeruhan, menyatakan kebenaran walau pahit semata-mata kerana mahu menegakkan perjuangan masing-masing.

Ada yang kita perkatakan atas pentas itu pedas dan tidak boleh diterima musuh politik, itu adat. Yang penting ianya benar dan biar rakyat yang menilai dan mengukurnya.

Sementara itu politik juga membuka ruang untuk kita berkuasa bagi melaksanakan cita-cita perjuangan. Semasa diberi kuasa, demikianlah juga sepatutnya pentas politik digunakan iaitu untuk memberi penerangan.

Yang menjadikan ahli politik tempang dan pincang adalah apabila ia diberi kuasa, ia khianat. Alhamdulillah sepanjang 40 tahun, ada ketika sebagai pembangkang, ada menjadi kerajaan dan kini kembali pembangkang (di Terengganu masih kerajaan) rekod Tuan Guru bersih dari sebarang siasatan atau pendakwaan yang melibatkan pengkhianatan amanah dan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Tuan Guru tidak pernah disiasat atau didakwa kes rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah apatah lagi kes-kes melibatkan jenayah seksual. Ini semua kemungkaran, tindakan tidak bermoral yang perlu dijauhi apatah lagi buat seseorang yang berkecimpung di pentas politik.

Kerana itu apabila Tuan Guru disiasat, kerana kononnya didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur khianat awam atau seumpamanya, ahli-ahli PAS tidak gusar kerana kita kenal Tuan Guru kita. Ahli-ahli PAS akan berdiri teguh mempertahankan Tuan Guru kerana kita semua malah rakyat Malaysia tahu dan mengenali akhlak dan keperibadiannya.

Yang kita akan marah apabila Tuan Guru disiasat kes rasuah atau salah guna kuasa atau pecah amanah serta kes jenayah seksual kerana ianya bukan amalan ahli atau pimpinan gerakan Islam seumpama PAS.

Jika benar Tuan Guru ada melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang dinyatakan siasat dan dakwalah beliau, biar masing-masing kemukakan bukti. Biar ianya diadili seadil-adilnya.

Kami sedikit pun tidak akan goyang dalam memberi ketaatan dan kepatuhan kepada beliau selaku Presiden parti. Kami masih boleh berdiri tegak dan bangga kerana pentas politik tidak dicemari atau dinodai Tuan Guru kami.

Yang malang dan mengaibkan adalah apabila kuasa politik disalah guna untuk menipu dan menyeleweng wang rakyat. Kuasa politik diguna untuk mengugut penjawat awam, melakukan jenayah seksual. Dan lebih malang ahli-ahli membuta menyokong mereka yang  seumpama ini.

Syukur kerja-kerja mungkar itu bukan berasal dari PAS tetapi pimpinan parti lain.

Kerana itu rakyat khasnya umat Melayu Islam menerima perjuangan PAS, kerana itu rakyat menolak mereka yang mungkar dan pincang.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -