UEC menjurangkan kaum, mewujudkan anti-nasional

- Advertisement -

MENURUT hasil kajian yang boleh didapati daripada buku Tanah Baru Naga Selatan, pendidikan kaum Cina ialah untuk mengekalkan budaya mereka dan aspek ke’Cina’an mereka. Semua ini berkait rapat dengan asal-usul kedatangan mereka dan sejarah peradaban mereka yang panjang dan penuh duka dan cabaran.

- Advertisement -

Pada asalnya, golongan imigran Cina tidak bercadang untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai tempat duduk mereka, hanya cukup sebagai tempat berdagang. Setelah dikumpulkan kekayaan yang mencukupi, mereka akan pulang semula ke tanah besar China dengan harta dan pendidikan yang tinggi.

Namun segalanya berubah apabila selepas Perang Dunia ke-2, China yang telah dikuasai Parti Komunis China telah mengubah dasar mereka dengan memberi kebebasan memilih kerakyatan kepada golongan Cina Seberang Laut (CSL). Maka kaum CSL di Tanah Melayu yang majoritinya menyokong ideologi Kuomintang telah menukarkan kesetiaan mereka kepada Tanah Melayu.

Perubahan ini berlaku kerana makin ramai golongan pendidik Cina yang berpendidikan Barat, dan secara tidak langsung mula menerima subjek Bahasa Melayu sebagai subjek wajib dalam sistem pendidikan negara. Meskipun begitu, perjuangan mempertahankan sistem pendidikan Cina terus dimartabatkan agar mereka dapat mempertahankan identiti ke’Cina’an dan budaya mereka tidak kira di mana mereka berada. Inilah matlamat utama mereka.

Menurut sebuah kajian kes oleh Yeow Wai Chong, semenjak abad 20, majoriti imigran yang datang ke Tanah Melayu ialah golongan buruh yang miskin dan buta huruf. Maka penekanan aspek pendidikan amat dititikberatkan kepada anak-anak mereka dengan harapan generasi akan datang ini akan menceburi bidang kerjaya lebih tinggi. Bagi mereka, nilai pendidikan amat dipandang tinggi di sana (Tanah Besar China).

Selepas Perang Dunia ke-2, bahasa Mandarin atau nama lamanya Kuo Yu mula digunakan meluas oleh kaum Cina sama ada di China mahupun di luar negara. Perkara ini telah membantu kesatuan antara kaum Cina yang tersebar luas di pelosok dunia. Mereka berpegang bahawa pendidikan haruslah berteraskan adat dan budaya kerana mereka menganggap mereka akan kehilangan identiti sebagai orang Cina sekiranya asas ini tidak dipertahankan.

Perkara ini terbukti apabila Tan Cheng Lock dan Lembaga Pengurus Sekolah Selangor telah menolak Ordinan Pelajaran 1952. Selain itu, terdapat 11 usaha menolak integrasi pendidikan antara pendidikan Cina dengan pendidikan nasional oleh Dong Jiao Zong setelah Malaysia mencapai kemerdekaan. Peristiwa-peristiwa ini menjadi bukti jelas akan ketegasan kaum Cina dalam mengekalkan teras pendidikan mereka.

Kesemua usaha ini dilakukan kerana orang Cina majoritinya masih berpegang dengan asas pendidikan Cina supaya tidak hilang identiti jati diri mereka yang sebenar. Ini hakikat yang masyarakat kaum lain perlu hadamkan.

Selain itu, perlu juga kita kenali sosok yang penting dalam penubuhan Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia) iaitu Lim Lian Geok yang telah dilucutkan kewarganegaraan susulan kelantangan menentang penyata Barnes disusuli Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961. Selain itu, mendiang turut menghasut rakyat pelbagai kaum untuk membenci Yang di-Pertuan Agong. Sayang sekali, masih terdapat ramai individu yang cuba menjulang mendiang sebagai tokoh sedangkan mendiang mempunyai sifat anti-nasional yang ketara.

Maka kita perlu menerima hakikat bahawasanya, Dong Zong yang ditubuhkan selepas laporan Fen-Wu ditolak oleh pihak kerajaan semasa merangka asas pendidikan kebangsaan hanyalah salah satu wadah pendidikan orang Cina dalam mengekalkan objektif pendidikan mereka.

Objektif Dong Zong adalah seperti berikut:

(1) Menyatupadukan ahli-ahli, mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina di Malaysia.

(2) Mengkaji dan menggerakkan semua aspek berkenaan dengan pembangunan dan pembaharuan sistem pendidikan sekolah Cina di Malaysia, antaranya termasuk kurikulum, peperiksaan, guru, dana pendidikan dan sebagainya.

(3) Memperkukuh dan mengeratkan hubungan antara pengurus atau pengelola sekolah-sekolah Cina di Malaysia.

(4) Menyatukan dan mengukuhkan kekuatan masyarakat Cina di Malaysia dalam usaha menambah baik dan memperkasa pendidikan Cina.

(5) Mewakili lembaga pengurus sekolah-sekolah Cina di Malaysia untuk berunding dengan kerajaan mengenai semua aspek berkenaan dengan sekolah-sekolah Cina.

(6) Merancang kerjasama antara pengurus dan guru sekolah-sekolah Cina di Malaysia.

(7) Memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum.

Unified Examination Certificate (UEC) pula hanyalah satu daripada komponen besar daripada sistem pendidikan vernakular ini. UEC yang mengambil silibus daripada Taiwan merupakan salah satu ruang sambung belajar yang terdapat dalam sistem pendidikan Cina. Khususnya dalam aspek pendidikan menengah atas di Sekolah Menengah Pendidikan persendirian. Tidak dinafikan UEC mempunyai kualiti tersendiri. 

Akan tetapi menilai aspek pendidikan nasional secara holistik, selagimana UEC dinilai tidak mampu memenuhi aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan atau selagimana silibus UEC tidak ingin disesuaikan dengan konteks Dasar Pendidikan Kebangsaan, selagi itulah UEC tidak wajar diberikan ruang pengiktirafan sama seperti aliran pendidikan kebangsaan seperti SPM dan STPM.

Kaum Cina masih berkeras dengan teras pendidikan yang menolak integrasi pendidikan secara total (termasuk sistem 1 aliran) adalah disebabkan ‘nature’ kaum Cina sendiri yang dibentuk hasil perjalanan sejarah etnik ini yang amat panjang. 

Oleh itu, jelas lagi bersuluh, pembawakan kaedah pendidikan ini haruslah disederhanakan dan disesuaikan dalam konteks perlembagaan negara. Hal ini demikian kerana, hala tuju dan agenda pendidikan yang diterajui Dong Zong adalah bersifat kontradiktif kepada pembinaan identiti negara bangsa yang utuh.

Sebagai sebuah negara yang mengejar status negara maju, Malaysia perlu mempunyai kestabilan dari segi sosial dan politik khususnya dalam aspek pembinaan identiti nasional. Sebuah identiti nasional yang kukuh berlandaskan Perlembagaan Persekutuan wajar dipasak dalam sanubari semua anak Malaysia tanpa mengenal bangsa.

Identiti nasional ini mestilah tidak berlanggaran dengan peruntukan perlembagaan dan diakui oleh undang-undang tertinggi negara ini bagi menjamin kestabilan sosial.

Oleh itu, apa-apa usaha, gerakan dan idea yang bertentangan dengan perlembagaan wajar dilabel sebagai anti nasional dan tidak berperlembagaan. Sifat keras kepala dan ego sesetengah ekstremis kaum yang enggan menghormati usaha perpaduan nasional wajar dikawal dan dibalas dengan peruntukan undang-undang sebagaimana yang diterima mendiang Lim Lian Geok.

Manifesto Pakatan Harapan yang ingin mengiktiraf UEC untuk ambilan ke Institut Pengajian Tinggi dalam negara dilihat sebagai tidak adil kepada pelajar yang telah memilih aliran pendidikan kebangsaan yang menepati Dasar Pendidikan Kebangsaan. Meskipun diletakkan dengan syarat mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu, saya melihat syarat ini tidak cukup. Tiada jaminan pelajar yang mengikuti sistem pendidikan vernakular secara total bermula sekolah rendah sehingga sekolah menengah akan mampu bertutur bahasa kebangsaan dengan baik. Bahkan subjek yang penting dalam memupuk identiti nasional seperti Sejarah tidak pula dijadikan syarat wajib bersama.

Meskipun begitu, kita perlu memahami ketegasan beberapa pihak yang enggan menerima UEC dan pembawakan Dong Zong bukanlah atas faktor kebencian kepada kaum Cina. Akan tetapi atas dasar melihat maslahah yang lebih besar dalam mengurangkan jurang dan polarisasi kaum serta menguatkan usaha mewujudkan identiti nasional yang mampu mewujudkan kestabilan negara.

Oleh sebab itu, marilah kita menghayati ayat Al Quran dari Surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Rujukan

  1. Tanah Baru Naga Selatan , Mohd Herman Roslan.
  2. Chinese in Malaysia,Volume 7, Rupert Emerson
  3. Wang Gangwu,China and Chinese Overseas,Times Academic Press.
  4. https://www.dongzong.my/v3/index.php/ms/ 
  5. https://www.thepatriots.asia/lim-lian-geok-penghasut-yang-di-lucut-kerakyatan-oleh-kerajaan-malaysia-pada-era-60an/ 

UTHMAN CHE AZIZ
Sejahtera Research Group – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -