Kerajaan Campuran bukanlah terma memalukan

- Advertisement -

TAHNIAH YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas lantikan sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong As Sultan Abdullah. Semoga terus memimpin negara menuju kemakmuran.

- Advertisement -

Insya-Allah rakyat mengiktiraf kerajaan ini. Cumanya, kita perhatikan pihak yang menjadi kerajaan sekarang cuba sedaya upaya menjustifikasikan tindakan kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam satu Kerajaan Campuran.

Zahid Hamidi contohnya cuba bergayut pada nama Yang di-Pertuan Agong (YDPA) demi mensucikan tindakan beliau menyokong cikgu beliau. Kata Zahid Hamidi, beliau hanya mengikut titah YDPA untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Begitu juga dengan siri-siri ucapan dan kenyataan daripada pimpinan Pakatan Harapan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri. Terma seperti Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Perpaduan Nasional dan Harapan Nasional digunakan untuk memberikan solekan cantik kepada gabungan Kerajaan Campuran ini.

Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan yang dicanang oleh Zahid dan PH tidak lagi boleh disentuh kerana ia telah terbatal apabila PERIKATAN NASIONAL memilih untuk menjadi pembangkang.

Kenapakah penting bagi rakyat untuk tidak termakan dengan naratif Zahid Hamidi yang cuba mensucikan jual beli prinsip parti beliau? Kerana tindakan Zahid Hamidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan pengecut.

Kerajaan Perpaduan meskipun tiada definisi rasmi menurut peruntukan undang-undang, namun ia boleh difahami secara ringkas berkenaan struktur asasnya. Iaitu kerajaan tanpa pembangkang.

Kerajaan Perpaduan juga tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang ‘normal’ dalam proses demokrasi sesebuah negara.

Menurut Pakar Perlembagaan, Dr Fathi Yusof, imej Kerajaan Perpaduan tidak boleh digunakan sembarangan kerana ia selalunya digunakan dalam keadaan krisis besar atau perang melanda sesebuah negara.

Di luar negara, penubuhan Kerajaan Perpaduan hanya sebagai langkah sementara dalam menguruskan mudarat besar melanda sesebuah negara. Ia seolah-olah merehatkan sebentar kesemua pihak yang bertelingkah dan menangguhkan sebentar demokrasi negara.

Apakah pergaduhan politik dan kehangatan kempen dalam negara boleh disamatarafkan dengan krisis besar seperti peperangan? 

Hakikatnya kerajaan yang terbentuk sekarang merupakan Kerajaan Campuran besar antara Umno-BN dan DAP-PH yang sejak penubuhan negara Malaysia bergeser dan bertembung dari segi dasar dan pembawakan.

Ilusi kononnya kerajaan ini terpaksa dibentuk atas Titah Agong adalah permainan politik persepsi demi menenangkan kedua-dua belah penyokong BN dan PH. 

Cuba bayangkan, adakah penyokong mereka mampu menerima hakikat musuh yang selama ini mereka gelar sebagai perasuah, koruptor, cauvinis dan rasis kini duduk bersama membentuk kerajaan akibat kerjasama antara anak murid dan cikgu?

Sudah tentu tidak. Maka sebab itu sebuah justifikasi yang suci lagi agung perlu diwujudkan bagi menyedapkan hati mereka.

Para penyokong dan pentaksub mereka pun terpaksa menelan air liur dan terus mara mengiakan sahaja segala tindakan berlanggar dengan prinsip yang selama ini mereka pegang dengan erat.

Pimpinan utama PH seperti Rafizi Ramli juga telah hilang daripada radar. Setelah dengan gagahnya menyatakan akan menjadi individu pertama menolak kerjasama dengan Umno, kini beliau diam setelah beliau sendiri kelihatan dengan gembiranya bertemu bersama pimpinan Umno di Hotel Seri Pacific. Apa khabar Rafizi ya?

Sesungguhnya tiada yang memalukan pun sekiranya PH dan BN mengakui sahaja kerajaan pada hari merupakan Kerajaan Campuran. Ia tetap sah di sisi undang-undang.

Kerajaan Campuran bukanlah terma memalukan, prinsip dan dasar perjuangan adalah perkara sementara sahaja. Yang penting kuasa pemerintahan dapat dipegang. Akui sahaja secara ‘clear cut’. Jadilah gentleman yang ‘accountable’ dengan gerak geri anda sendiri.

Tidak perlu cuba mengaburi mata rakyat. Dengan bergayut pada Istana. Hakikatnya tiada sepatah pun perkataan ‘Kerajaan Perpaduan’ atau apa-apa ayat yang boleh ditafsirkan sebagai arahan daripada YDPA untuk membentuk Kerajaan Perpaduan boleh dijumpai dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

Marilah kita sahut seruan YDPA untuk sama-sama menguruskan negara ini sebaiknya. BN-PH sebagai kerajaan, PN pula sebagai mekanisme semak imbang.

UTHMAN CHE AZIZ
Sejahtera Research Group – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -