Agama dalam politik adalah wajib

Kehadirannya signifikan

- Advertisement -

TIDAK ada kekotoran dan kezaliman yang berlaku lebih besar daripada angkara dunia politik dan ahlinya. Politiklah sebenarnya yang paling menyuburkan kesyirikan dan kemaksiatan kepada Allah.

- Advertisement -

Kehadiran agama dalam politik adalah untuk menghalang dan menghapuskannya.

Jika diterima dan dibenarkan tohmahan bahawa kehadiran agama dalam politik adalah sebagai tunggangan dan alat yang dipergunakan oleh ahli politik untuk kepentingan diri dan parti politik mereka, maka selama-lamanya agama akan terpinggir dalam politik dan kehidupan. 

Bunyinya manis demi menjaga kesucian agama. Hakikatnya ia adalah racun yang dibawa oleh fahaman sekular Barat demi membunuh politik Islam dan jihad menegakkan nilai dan hukum agama.

Jika racun itu ditelan, agama akan terus terkurung dalam masjid dan berpencak di mimbar khutbah memberikan peringatan buat ahli masjid sahaja. Agama hanya akan menjadi peta perjalanan dari rumah ke masjid dan seterusnya ke lubang kubur.

Hakikatnya, agama adalah lebih luas daripada itu. Bahkan ia adalah kemuliaan dan keagungan tertinggi dalam kehidupan manusia. Islam itu tinggi dan tidak boleh dibenarkan apa pun yang lebih tinggi daripadanya.

Agama hadir dalam politik demi kemaslahatan dan kemanfaatan buat manusia di dunia dan akhirat. Agama menjaga hak dan kepentingan awam dan ramai tanpa mengabaikan hak individu. Ia menolak kepentingan diri dan puak-puak tertentu yang menguasai politik negara sehingga menzalimi puak yang lain.

Agama hadir dalam politik untuk menghukum ahli-ahli politik yang curang, mengkhianati amanah, memungkiri janji dan berakhlak buruk. Kerana itulah ahli politik amat takut terhadap kehadiran agama yang lebih awal menghukum tingkah laku buruk mereka sebelum dihukum kemudiannya oleh rakyat.

Agama juga hadir dalam politik untuk memelihara dan memuliakan ahli politik yang bersih, adil dan berakhlak mulia. Ia datang bagi memadamkan fitnah dan kepalsuan.

Justeru gembiralah dengan kehadiran politik Islam dalam negara. Lihatlah bagaimana indahnya pesan daripada al Rasul S.A.W yang menghukum umatnya yang berakhlak buruk dalam melaksanakan tanggung jawab kehidupan:

Sabda Baginda S.A.W:

لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له

“Tiada iman bagi orang yang tiada sifat amanah dan tiada agama bagi orang yang tiada berpegang pada janji.”

 (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -