Fernandes keluar dari bayang-bayang Ronaldo

- Advertisement -

Pemain Portugal, Bruno Fernandes, telah lama menjadi pemain sokongan kepada rakan sepasukan yang terkenal, Cristiano Ronaldo.

- Advertisement -

Namun semalam, dia kelihatan mula melangkah keluar dari bayangan pemain bintang itu dengan menjaringkan dua gol penting untuk mengemudi pasukannya mengatasi Uruguay, sekali gus melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Qatar.

Kerjaya pemain berusia 28 tahun itu mempunyai kaitan erat dengan Ronaldo. Fernandes mengekori Ronaldo di Sporting, kelab yang kapten Portugalnya memulakan kerjaya cemerlang sebelum beralih ke kelab yang lebih besar.

Dia kemudian menyertai Manchester United pada 2020, sebuah lagi kelab yang CR7 meninggalkan jejaknya pada masa lalu. Selepas menjadi pemain utama pasukan Inggeris, Fernandes bertemu Ronaldo yang kembali tahun lalu untuk sekali lagi menjadi tumpuan.

Fernandes tidak memiliki kepantasan, kuasa atau kehebatan menjaringkan gol seperti CR7, tetapi dia melakukan apa yang diperlukan untuk membawa Portugal melalui permainan yang Ronaldo gagal mencatatkan gol.

Hantaran lintang Fernandes melepasi kepala Ronaldo dan masuk ke gawang walaupun rakan sepasukannya yang lebih terkenal pada mulanya memburu gol untuk dirinya sendiri.

Dia kemudian menambah satu lagi dengan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua sebelum menggegarkan tiang beberapa saat kemudian dalam percubaannya untuk mencatat hatrik.

Sebahagian besar sorakan penonton di Stadium Lusail berkapasiti 88,0000 sepanjang permainan hampir secara eksklusif untuk Ronaldo. Namun, Fernandes meninggalkan padang dengan gembira, mengetahui bahawa di peringkat antarabangsa kini terdapat dua nama besar dalam skuad Portugal.

Sama ada di Sporting atau United, Fernandes dikritik kerana memainkan peranan sokongan kepada Ronaldo walaupun dia adalah antara pemain tengah yang menjaringkan gol tertinggi di Eropah.

Selepas Manchester United secara tiba-tiba menamatkan kontrak Ronaldo di Old Trafford berikutan kritikan pedasnya terhadap kelab itu, Fernandes enggan memihak kepada kelab atau rakannya,

“Ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan untuk bermain bersama Cristiano…tetapi tiada apa yang kekal selama-lamanya,” katanya.

Sebagai perancang berkemahiran tinggi, sentuhan hebat dan bijak mengintai jaringan, Fernandes membawa Portugal meraih kemenangan kedua dalam kumpulan Piala Dunia yang sebelum ini hanya dicapai pada Piala Dunia 1966 dan 2006. Ketika itu, Portugal mara ke peringkat sepatuh akhir.

Beraksi dalam Piala Dunia keduanya, berbanding kelima buat Ronaldo, Fernandes berharap Piala Dunia kali ini akan menjadi yang paling berjaya untuk Portugal. – REUTERS

- Advertisement -