PKR sekarang tidak lagi macam dahulu – bekas AMK

- Advertisement -

JASIN: Seramai 65 anak muda yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang berubah perjuangan dengan menyertai PAS.

- Advertisement -

Borang menyertai PAS diserah wakil kumpulan anak muda terbabit, Farid Arifin Jamaluddin, 29, kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan borang itu diadakan sempena Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL berlangsung di Kompleks PAS Jasin semalam.

Bekas Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Cabang Hang Tuah Jaya, Farid berkata, krisis berpanjangan dan sikap pemimpin PKR ‘cakap tak serupa bikin’ membuatkannya bosan dan tawar hati terhadap parti itu.

“Ketika dalam PKR, saya sering sertai mesyuarat, hadiri kongres, jadi saya nampak PKR sekarang tidak macam dahulu. Perjuangan mereka sudah tidak sama.

“Sebelum ini mereka perjuangkan kebebasan bersuara, negara demokrasi, tetapi dalam parti sendiri kebebasan bersuara tidak ada. Kami bersuara sikit kena tindakan tata tertib,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Menurutnya, kemuncak ahli-ahli kecewa berkaitan isu pemilihan calon PKR di Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim yang pencalonannya tidak dipersetujui peringkat cabang.

Kata Farid, majoriti ahli di cabang tersebut mahu ketuanya Mohd Rafee Ibrahim menjadi calon, namun suara mereka tidak didengari.

“Saya tengok memang cara diktator, cara kroni. Padahal sifat itu yang mereka tentang, tetapi itulah yang mereka buat dalam parti,” ujarnya kesal.

Tambahnya beliau memilih PAS kerana perjuangan Islam yang dibawa parti tersebut sesuai dengan jiwa anak muda sepertinya yang dahagakan didikan agama.

Ahmad Fahmi Abas

Rakannya, Ahmad Fahmi Abas, 30, yang turut menyertai PAS berkata, perjuangan Islam yang dibawa PAS menarik minat untuk memohon menjadi ahli.

“Saya pun masih sembahyang tunggang terbalik, jadi perlu dalami agama dan mendekati PAS sebagai jalan terbaik,” ujarnya.

Menurutnya, semasa bersama PKR beliau pernah mengajak beberapa rakan menyertai PKR, namun mereka tidak berminat ketika itu.

Namun sekarang kata Fahmi majoriti rakan-rakannya bersetuju menyertai PAS termasuk seorang rakannya berbangsa Cina yang berminat menjadi ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

“Saya tunjuk borang PAS pada kawan-kawan saya, semua setuju. Semua okay. Semua kata tak ada masalah. Kita naikkan Tok Guru kita, kita sokong Tok Guru,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -