Kempen: PAS Terengganu ketengah kejayaan kerajaan negeri

- Advertisement -

WALAUPUN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini melibatkan parlimen tetapi PAS Terengganu mengetengahkan kejayaan kerajaan negeri sebagai bahan utama kempen. Bagaimanapun menurut Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, USTAZ ARIFFIN DERAMAN, isu nasional juga turut dibawa. Beliau turut menyentuh berkenaan usaha menarik pengundi muda supaya memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL pada PRU15 ini. Wartawan Harakahdaily, NOR HAZWANI NOH berkesempatan menginterviu beliau di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Sehingga kini, bagaimana YB melihat gerak kerja jentera pilihan raya sejak pembubaran parlimen?

Sebenarnya kami bermula dari bubar parlimen, kita telah bersiap sebab sebelum daripada ini. Kita ada perancangan untuk mengadakan program simulasi pilihan raya sehingga akhir bulan November. Kita buat dalam 100 hari persiapan untuk menghadapi pilihan raya, tiba-tiba dalam waktu itu tempoh dibubarkan parlimen, jadi kita tidak tunggu hari penamaan calon. Kita telah bergerak membuka semua bilik gerakan sebab Terengganu tidak sama dengan parlimen ataupun negeri-negeri lain. Contohnya negeri lain sebahagian besar mereka menunggu pembahagian kerusi maksudnya kerusi parlimen siapa bertanding dalam konteks parti politiklah. Contohnya PAS, Bersatu dan Gerakan.

Di Terengganu ini ia sangat jelas, jadi kita kata kalau mengikut status score nya enam parlimen kita menang, jadi hak kitalah, cuma tinggal Besut dan juga Hulu Terengganu. Tapi perbincangan terakhir sebelum daripada penamaan calon itu diputuskan supaya Besut diberikan kepada PAS.

Istimewa juga Terengganu dengan Kelantan apabila calon Bersatu menggunakan lambang PAS. Jadi kita sangat jelas tentang itu menyebabkan dari segi persiapan kita tiada masalah. Senang bergerak dengan baik, dengan andaian kita kata semua lapan kerusi parlimen di Terengganu jadi hak milik PAS lah. Tidak timbul isu ada rakan daripada PAS nak boikot Bersatu, dan alhamdulillah dari segi kerjasama di antara PAS, Bersatu dan Gerakan di Terengganu ini sangat baik. Maksudnya mereka juga memberikan komitmen yang tinggi daripada Bersatu untuk memberikan sokongan dan juga gerak kerja di peringkat Besut, Setiu, tujuh kawasan di peringkat kita.

Saya sendiri menjadi penasihat gerak kerja di peringkat Hulu Terengganu dan saya dapati kerja kuat daripada ahli PAS untuk memastikan kemenangan Rosol Wahid supaya beliau terus jadi ahli parlimen. Jadi itu dari segi kerjasama yang amat baik di antara kita dan dari segi gerak kerjanya. Saya bagi contoh kalau kita pergi daripada Besut sampai Kemaman, ini dianggap sebagai luaran, bendera-bendera yang naik sekarang ini sama ada di tepi jalan besar dan juga di kampung kita dimonopoli oleh PAS. Contoh lagi di jambatan-jambatan yang ada walaupun mungkin boleh, tidak boleh dipertikaikan perkara itu. Tapi penguasaan di jambatan itu kita tengok jentera PAS lebih terkedepan, itu dari segi poster, kita tidak ambil kira lagi dari segi gerak kerja yang lain.

Alhamdulillah setakat ini memang beza dengan pilihan raya sebelum ini. Kalau sebelum ini muslimat kita turun untuk melakukan gerak kerja, contohnya bacaan Yassin, munajat kemudian program telaga hijau, program-program soup kitchen, contoh program macam tu yang berlaku seluruh negeri sehingga ke hari ini hanya PAS sahaja. Kalau kata berapa peratus saya boleh katakan 90 peratus aktiviti PAS sedang bergerak di peringkat bawahan tetapi Umno mungkin tidak sampai 10 peratus. Jadi mereka sedang bergerak tetapi kalau berlari itu baru nak mula panaskan badan, manakala kita sudah 300/400 meter berlari. Jadi menang kalah isu lain tapi dari segi aktiviti yang kita buat kita jauh ke hadapan, itu kalau muslimat, pemuda, wanita muda dan di peringkat kampung memang kita menguasai setakat ini.

Jadi macam mana gerak kerja ataupun usaha untuk nak menarik pengundi pertama kali (first time voters)?

First time voters analisa kita di Terengganu kita ada hampir 60 peratus semua DUN di Terengganu adalah pengundi 40 tahun ke bawah dan sebahagian separuh adalah first time voters yang berumur 18 hingga 25 tahun. Kita sedar perkara ini lalu kita tubuh jawatankuasa milenia di bawah Dewan Pemuda PAS negeri dan bukan kata sekarang baru tubuh, kita sudah tubuh setahun tahun lebih jawatankuasa ini. Mereka telah bergerak untuk menguasai pengundi-pengundi milenia ini.

Kita sudah kenal pasti aktiviti dan sedang berjalan sebenarnya sehingga sama ada dalam pilihan raya parlimen di Terengganu dan kita akan teruskan lagi sehingga tahun ini. Untuk target memang ada perancangan dan aktiviti setiap DUN yang dipantau diketuai oleh Ustaz Mohd Harun, Ketua Pemuda, beliau menjadi pengerusi milenia itu yang kita buat sekarang ini. Milenia ini jawatankuasa yang ada pelbagai antaranya pemuda, untuk pengundi muda wanita kita ada Nisa’ dan Ameerah yang terlibat di peringkat DUN masing-masing dan juga parlimen, jadi kita gabungkan semua.

Di Terengganu tidak mengetengahkan calon muda dan juga wanita…

Isu calon ini kita serah kepada prosedur yang dibuat oleh negeri, antaranya kita minta senarai calon daripada cawangan, pihak parlimen sendiri, PAS kawasan minta cadangan dan cadangan itu diproses dengan mengambil kira cadangan-cadangan lain, seterusnya kita serah kepada presiden, jadi presiden berhak mendapatkan calon-calon lain.

Hasil daripada itu kita dapati sebagaimana yang berlaku sekarang ini calon yang lama dikekalkan kerana prestasi mereka sangat baik antaranya Ustaz Shaharizukirnain, parlimen beliau di Setiu ini memang sudah dianggap sebagai luar bandar. Sama juga kalau Rosol Wahid, beliau jadi ahli parlimen Bersatu dulu prestasinya sangat baik di peringkat Hulu Terengganu dan sangat disegani, sehingga parlimen Kemaman, semua ahli parlimen kita prestasinya sangat baik dengan masyarakat. Jadi atas dasar itulah saya rasa pimpinan, sebab perkara ini kita serah kepada pimpinan. Kalau Terengganu Datuk pesuruhjaya bawa senarai ini kepada presiden, presiden bersetuju untuk mengekalkan.

Jadi isu calon wanita dan juga muda, oleh kerana pilihan raya negeri belum diadakan, saya yakin pimpinan akan buat satu keputusan untuk menentukan calon mungkin daripada pemuda orang muda, dan juga wanita di masa akan datang, itu kita serahkan kepada presiden dan pesuruhjaya.

PAS sebagai sebagai kerajaan di Terengganu, jadi bahan kempen atau isu yang dikemukakan kepada rakyat adakah berkait dengan kerajaan negeri atau lebih terbuka untuk isu-isu nasional?

Kita sebenarnya campur. Oleh kerana kita masih kerajaan dan kita bergerak, contohnya baru tiga minggu kita telah menunaikan 20 manifesto. Kita letak deadline tahun ini diselesaikan dua manifesto. Maka kita boleh ketengahkan manifesto kita pada kali ini dan juga banyak pencapaian yang telah diperolehi oleh kerajaan negeri. Walaupun kita melihat sebenarnya apabila kita jadi kerajaan, yang penting sekali rakyat dia tiada masalah, contohnya orang muda betul kita kata pengangguran ini ada di mana-mana tapi tidak ketara isu pengangguran di Terengganu. Sebenarnya itu satu kejayaan yang kita boleh menyelesaikan isu itu dan juga hatta isu wanita, pelbagai isulah dan sememangnya menjadi satu modal kita untuk kita ketengahkan kejayaan kerajaan negeri walaupun pilihan raya ini pilihan raya parlimen.

Oleh kerana di peringkat pusat kerajaan selepasnya tidak stabil asalnya daripada PH, PN dan kemudian diterajui Umno, ia bertukar-tukar. Mungkin prestasi yang kita nak ceritakan kejayaan di peringkat negeri. Isu nasional ini akan tetap dibawa, tetapi kita akan lihatlah macam mana kita nak bawa tetapi isu kerajaan negeri akan diutamakan dalam kempen pada kali ini.

Pesanan YB kepada para petugas kita dan pengundi.

Kepada petugas saya selalu pesan supaya, petugas kita ini sentiasa mengikut arahan pimpinan dari segi kerja kerana kita ada DUN-DUN dalam parlimen-parlimen yang kita bertanding ia ada lebih kurang sama tetapi ada perbezaan dari segi menguruskannya. Jadi memang ada kalau kita buat kerja kita akan dapati memang ada pelbagai isu yang perlu diselesaikan. Jadi kita minta semua petugas ikut arahan pimpinan dan banyak tawakal kepada Allah SWT dan kita telah keluarkan supaya selepas penamaan calon kita sentiasa pada waktu malam selepas Maghrib atau Isyak kita ada sembahyang hajat, munajat untuk kemenangan kita.

Kepada pengundi perkara penting sekali terutama pengundi muda, keluarlah mengundi dan mengundi PERIKATAN NASIONAL/PAS dalam pilihan raya umum di Terengganu ini. Juga kepada pengundi di perantauan di Sabah, Sarawak, Johor, Perak di mana-mana sahaja supaya menggunakan peluang walaupun sudah balik sebelum ini untuk perayaan, tetapi baliklah pula untuk mengundi.

Sebenarnya pilihan raya ini ia ada satu kemeriahan, ianya berlaku lima tahun sekali. Walaupun ia berlaku lagi pada tahun hadapan tapi sebenarnya momen pilihan raya itu tidak akan ada selalu. Jadi momen itulah kena balik pergi mengundi bersama keluarga, boleh bertemu lagi dengan keluarga. Saranan saya kepada semua pengundi luar yang mengundi di Terengganu yang berdaftar sebagai pengundi di Terengganu, sila pulang ke parlimen masing-masing untuk mengundi dan khususnya undi untuk PERIKATAN NASIONAL termasuklah pelajar. Pelajar universiti kita ada sekitar 16,000 orang dalam pendaftaran kita. Jadi kerajaan negeri sediakan sebanyak 300 bas setakat ini. Jadi naik bas atau balik sendiri untuk mengundi. – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -